Pengundian awal pilihan raya AS pecah rekod - Utusan Malaysia

Pengundian awal pilihan raya AS pecah rekod

PENGUNDIAN awal pilihan raya kali ini memecahkan rekod di Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lebih 51 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) mengundi lebih awal menjelang pilihan raya pertengahan penggal negara itu, sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan pada 2022.

Pilihan raya pada 3 November itu, yang diadakan pada perte­ngahan tempoh empat tahun seseorang presiden, akan menentukan penguasaan Kongres apabila kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan dan kira-kira satu pertiga kerusi Senat dipertandingkan. Parti Republikan kini menguasai majoriti di kedua-dua dewan berkenaan.

Sehingga Sabtu, jumlah undi awal melepasi 51.3 juta, jauh mengatasi rekod terdahulu sebanyak 45.9 juta yang dicatatkan pada 2022, menurut data daripada Makmal Pilihan Raya Universiti Florida.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebanyak  27 negeri yang merekodkan pendaftaran parti peng­undi, Demokrat menyumbang 43.1 peratus daripada keseluruhan undi awal, berbanding 31.8 peratus bagi Republikan. 

Angka itu mencerminkan kecenderungan politik pengundi berdasarkan pendaftaran parti dan bukannya pilihan calon mereka.

Pennsylvania mencatatkan an­­tara jurang terbesar apabila peng­undi berdaftar Demokrat menyum­bang 65 peratus daripada undi awal, berbanding 25 peratus bagi Republikan. 

Sementara itu, di Iowa, Kansas dan Nebraska yang secara tradi­sinya dikuasai Republikan, jumlah undi awal Demokrat hampir menyamai atau mengatasi Republikan meskipun jumlah pengundi berdaftar parti itu lebih kecil.

Florida, Michigan dan Texas pula menunjukkan tanda-tanda peningkatan semula penyertaan Republikan dalam pengundian awal dan undi pos. Republikan di Florida mendahului Demokrat sebanyak tiga mata peratusan, berbanding kelebihan 6.4 mata peratusan pada 2022.

Dalam pada itu, di Texas, Republikan merangkumi 45 peratus daripada pengundi awal meskipun hanya mewakili 36 peratus daripada keseluruhan pengundi, menurut firma data pengundi L2. Data firma itu bagi Michigan pula menunjukkan 30 peratus pengundi berdaftar Republikan mengundi lebih awal, berbanding 23 peratus bagi Demokrat.

Cook Political Report pada Jumaat mengubah penilaian bagi 12 pertandingan kerusi Dewan Perwakilan yang memihak kepada Demokrat. Badan peramal pilihan raya itu mengklasifikasikan 18 pertandingan kerusi Dewan Perwakilan dan tujuh pertandingan kerusi Senat sebagai sengit tanpa calon yang jelas mendahului.

“Kita tahu pengundi awal cen­derung lebih memihak kepada Demokrat. Corak itu sudah menjadi ciri pilihan raya sejak sekian lama.

“Pada hari pilihan raya, komposisi pengundi banyak berubah memihak kepada Republikan. Oleh itu, Demokrat perlu membina kelebihan menerusi undi awal bagi mengimbangi apa yang bakal berlaku pada hari pilihan raya,” kata Pengarah Makmal Pilihan Raya Universiti Florida, Michael McDonald kepada Bloomberg.

Pengundian awal sebelum ini menjadi amalan kedua-dua parti, tetapi corak pengundian berubah ketika pandemik Covid-19. Pada 2020, ramai penyokong Demokrat memilih undi pos sebagai langkah berjaga-jaga, manakala Republikan lebih cenderung mengundi secara bersemuka pada hari Pilihan raya.

Bagaimanapun, menurut pe­nasihat kanan TargetSmart, Tom Bonier, trend itu kini mula berubah.

Presiden Donald Trump sebelum ini menyalahkan undi pos atas kekalahannya kepada bekas penyandang, Joe Biden pada pilihan raya 2020 dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya secara meluas.

Pada Mac, beliau menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Perkhidmatan Pos AS memperkenalkan syarat baharu bagi pengendalian undi pos, termasuk penggunaan senarai pengundi dan langkah penjejakan.

Bagaimanapun, pada 14 September, Mahkamah Agung menolak permohonan untuk mengetepikan injunksi mahkamah lebih rendah yang menghalang Perkhidmatan Pos daripada menguatkuasakan peraturan baharu itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Trump sejak beberapa minggu kebelakangan ini turut melunakkan pendiriannya dengan menggesa penyokong supaya mengundi lebih awal atau menerusi undi pos sekiranya mereka memilih kaedah berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini