TEHERAN: Iran memberi amaran pada Ahad bahawa sebarang peperangan baharu dengan Amerika Syarikat (AS) boleh berlangsung lebih lama berbanding konflik sebelum ini, sambil menegaskan Presiden AS, Donald Trump, bukan pihak yang akan menentukan tempoh peperangan itu.
“Peperangan yang mungkin berlaku pada masa depan boleh berlangsung lebih lama berbanding konflik sebelum ini dan Presiden Amerika tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tempoh atau syarat penamatannya,” kata jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia, menurut televisyen kerajaan Iran.
Beliau merujuk kepada fasa pertempuran paling sengit dalam peperangan yang bermula pada 28 Februari lalu susulan serangan AS-Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi Republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke seluruh rantau itu, manakala kumpulan yang disokongnya turut menyertai pertempuran di Lubnan dan Yaman.
Menteri Pertahanan Iran, Mehrdad Akhlaghi pada Ahad turut memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap negara itu akan dibalas dengan tindak balas yang setimpal, tegas dan memberi kesan.
“Mereka yang mengancam Iran tidak akan menentukan skala, masa atau akibat tindak balas pertahanan negara ini,” katanya.
Pada Ahad juga, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Mohebbi, mengulangi kenyataan yang disampaikan pemimpin tertinggi baharu Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei menerusi mesej bertulis sehari sebelumnya.
“Dalam konflik dengan Amerika, tiada batasan geografi; medan operasi yang luas telah ditetapkan bagi memberikan kerosakan kepada musuh,” kata Mohebbi, menurut televisyen kerajaan Iran. – AFP











