PETALING JAYA: Sebanyak RM21.51 juta nilai rampasan produk sejuk beku direkodkan menerusi operasi penguatkuasaan Op Taring Chiller bagi tempoh bulan Januari hingga Oktober tahun ini.
Sepanjang tempoh itu, seramai 65 individu turut ditahan menerusi 13 serbuan yang telah dilakukan.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, daripada jumlah itu, 63 merupakan lelaki warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Indonesia.
Katanya, warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 30 orang, diikuti Bangladesh (13), Cina tempatan (10), Nepal (enam), Pakistan (empat) dan Indonesia (dua).
“Turut ditahan ialah dua wanita warga tempatan. Berdasarkan statistik operasi, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu lima kes diikuti Johor dengan empat kes, manakala Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes.
“Daripada segi nilai rampasan, produk sejuk beku menyumbang jumlah terbesar iaitu RM20.79 juta manakala baki RM719,160 melibatkan pelbagai peralatan pemprosesan termasuk mesin penimbang, peti sejuk, mesin pemotong dan kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 turut dikenal pasti antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Menurutnya, jumlah kes yang direkodkan menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2025, yang hanya mencatatkan lima kes dengan dua tangkapan serta nilai rampasan sebanyak RM1.68 juta.
Jelasnya, peningkatan berkenaan mencerminkan keberkesanan usaha penguatkuasaan pihak berkuasa, khususnya dari segi jumlah kes yang dikesan, tangkapan serta nilai rampasan.
“Secara keseluruhannya, pencapaian Op Taring Chiller bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang.
“Khususnya membabitkan pengendalian dan pemprosesan produk sejuk beku serta kesalahan berkaitan imigresen,” katanya. – UTUSAN











