MELAKA: Suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang nampak tenang ketika ini membuktikan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan gerak kerja lebih awal tanpa perlu bergantung kepada tempoh berkempen sepanjang 14 hari.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan rakyat tidak hanya diberikan perhatian ketika musim pilihan raya, sebaliknya terus menerima khidmat dan perkhidmatan sepanjang tempoh pentadbiran.
“PRN Melaka kali ini agak tenang. Kita sudah buat kerja lebih awal supaya rakyat tidak ‘digula-gulakan’ sewaktu pilihan raya, dalam tempoh 14 hari.
“Selama ini kita mesti menjadikan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, bukan rakyat berkhidmat untuk kita,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Telok Mas di sini hari ini.
Menurut Ab. Rauf, beliau turut menekankan prinsip bahawa seseorang calon perlu memahami kehidupan dan keperluan rakyat terlebih dahulu sebelum memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Katanya, calon perlu mengetahui masalah penduduk, mendengar pandangan mereka dan menyampaikan perkara itu kepadanya bagi membolehkan kerajaan merangka dasar bersesuaian pada masa depan.
“Wakil rakyat mesti jadi rakyat dahulu, baru boleh jadi wakil rakyat. Dia kena tahu apa masalah rakyat, apa keperluan rakyat dan dengar apa yang rakyat cakap.
“Perkara itu perlu disampaikan kepada saya untuk saya menggariskan panduan dasar yang boleh dilaksanakan kerajaan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), sebanyak 4,800 aduan diterima dengan kira-kira 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan, merangkumi pelbagai keperluan rakyat.
Mengulas pandangan penganalisis politik terhadap peluang BN dalam PRN kali ini, Ab. Rauf berkata, setiap penilaian perlu dibuat berdasarkan sudut pandang profesional dan ukuran yang jelas.
Katanya, pengundi atas pagar lazimnya menilai hala tuju sesebuah parti serta rekod pentadbirannya sebelum membuat keputusan untuk memberikan mandat.
“Mereka akan melihat apa yang kita persembahkan kepada rakyat sewaktu kita mengurus tadbir negeri ini,” katanya. – UTUSAN











