Kedudukan Carrick di zon merah

Kedudukan Carrick di zon merah

Michael Carrick
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kedudukan Michael Carrick selaku pengendali Manchester United semakin goyah apabila skuad bimbingannya terus bergelut mencari kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, kelmarin.

Kekalahan itu memanjangkan kemarau kemenangan United kepada sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, sekali gus menambah tekanan terhadap Carrick yang sebelum ini masih mendapat kepercayaan pihak pengurusan kelab.

Lebih perit, sorakan penyokong Chelsea yang melaungkan ‘Anda akan dipecat pagi esok’ ketika Carrick meninggalkan padang jelas menggambarkan betapa teruk tekanan yang sedang dihadapinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, bekas pemain tengah United itu enggan melayan persoalan mengenai masa depannya, sebaliknya memilih untuk mengalihkan perhatian kepada persiapan menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Roma, Rabu ini.

United memiliki peluang untuk menguasai permainan pada separuh masa pertama selepas kapten Bruno Fernandes kembali dalam kesebelasan utama, namun kegagalan Matheus Cunha, Amad Diallo dan Fernandes menyudahkan peluang, termasuk percubaan Bryan Mbuemo yang menggegar tiang, akhirnya memakan diri.

Chelsea menghukum kelemahan itu apabila Morgan Rogers membuka jaringan empat minit selepas babak kedua bermula menerusi aksi individu menarik, dengan mudah melepasi pertahanan United sebelum menewaskan Senne Lammens.

Keadaan semakin sukar buat pelawat apabila Lisandro Martinez dilayangkan kad merah susulan terjahan keras terhadap Wesley Fofana, sebelum Cole Palmer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 untuk memastikan kemenangan Chelsea.

Carrick mengakui kegagalan memanfaatkan peluang dan kesilapan ketika bertahan menjadi faktor utama kekalahan, selain mengakui pasukannya gagal mengawal permainan selepas rehat.

“Kami gagal memanfaatkan peluang yang ada. Separuh masa kedua terlepas daripada kawalan kami. Ada masanya dalam perlawanan anda berdepan situasi sukar dan perlu mengatasinya.

“Anda melepaskan gol mudah dan keadaan menjadi lebih mencabar apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain,” katanya.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini