Koperasi perlu lebih bersedia untuk berubah

Koperasi perlu lebih bersedia untuk berubah

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) dan Zainab A. Raman (lima dari kiri) bergambar bersama penerima Geran Mutiara Madani (GMM) pada Festival Koperasi Pulau Pinang 2026 di pekarangan Masjid Sembilang Seberang Jaya, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Koperasi perlu lebih bersedia untuk berubah dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi ketika ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Dr. Zainab A. Raman berkata, justeru, pendekatan perniagaan yang hanya bergantung kepada kaedah tradisional mungkin tidak lagi mencukupi.

“Koperasi perlu meningkatkan penggunaan teknologi digital, memperkukuh penjenamaan, menambah baik pembungkusan produk dan meneroka saluran pemasaran yang lebih luas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa yang sama, koperasi hendaklah memastikan pengurusan kewangan dan tadbir urus sentiasa diperkukuh agar pertumbuhan perniagaan dapat dikekalkan secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Festival Koperasi Pulau Pinang 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid di pekarangan Masjid Sembilang Seberang Jaya di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Mohamad turut menyerahkan cek cura bagi Geran Mutiara Madani (GMM) kepada 27 buah koperasi terpilih dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, festival koperasi ketika ini tidak seharusnya dilihat sebagai tempat untuk berkumpul, mengadakan pameran atau menjalankan aktiviti jualan produk semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, festival itu perlu menjadi satu platform untuk memperluas pasaran, memperkukuh kerjasama perniagaan serta merakyatkan perkhidmatan koperasi sehingga ke peringkat akar umbi.

“Penganjuran festival koperasi di kawasan masjid pula memberi petunjuk jelas bahawa platform gerakan koperasi bersama institusi masjid merupakan satu sinergi yang dapat bergerak seiringan dalam memastikan pembangunan sosioekonomi ummah dicapai dengan sebaiknya,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 819 koperasi telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan 171,713 keanggotaan melibatkan jumlah syer sebanyak RM 411.7 juta secara keseluruhan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini