Pencabar Lula lari ke AS diiringi bekas perisik Mossad - Utusan Malaysia

Pencabar Lula lari ke AS diiringi bekas perisik Mossad

FLAVIO Bolsonaro tiba di Amerika Syarikat dengan menaiki pesawat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Senator Flavio Bolsonaro meninggalkan Brazil menuju Amerika Syarikat (AS) menerusi satu operasi yang membabitkan dua van, sebuah jet peribadi dan seorang bekas ejen agensi perisikan Mossad Israel yang dilaporkan mengiringinya, menurut hasil siasatan yang diterbitkan CNN Brasil.

Bolsonaro, isterinya Fernanda dan dua anak perempuan mereka menyeberangi sempadan ke Argentina melalui jalan darat pada Selasa menerusi Jambatan Antarabangsa Tancredo Neves, yang menghubungkan Foz do Iguacu di selatan Brazil dengan Puerto Iguazu di Argentina, lapor CNN Brasil pada Jumaat.

Bolsonaro tewas kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dalam pusingan kedua pilihan raya minggu lalu meninggalkan Brazil secara rahsia pada Selasa sebelum tiba di Florida menaiki jet peribadi pada Rabu selepas melalui Argentina dan Ecuador. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Rakaman kamera keselamatan mengenal pasti dua van serta pemandunya. 

Salah seorang pemandu merupakan bekas ahli majlis perbandaran Foz do Iguacu, manakala seorang lagi ialah anak lelakinya.

Seorang bekas pegawai perisikan Israel yang pernah berkhidmat dengan Mossad dilaporkan mengiringi Bolsonaro dari Brasilia ke Argentina, menurut hasil siasatan itu.

Ejen berkenaan tiba di Brazil pada 19 Oktober dan kemudian menaiki van yang sama dengan senator itu, menurut laporan berkenaan. 

Bagaimanapun, siasatan itu tidak dapat memastikan peranan yang dimainkannya, jika ada, dalam merancang operasi berkenaan.

Keluarga itu kemudian menaiki jet peribadi Gulfstream G400 di Puerto Iguazu. 

Pesawat yang dikendalikan syarikat penerbangan sewa khas Argentina, Baires Fly, itu singgah di Guayaquil, Ecuador, untuk mengisi minyak sebelum tiba di Lapangan Terbang Eksekutif Opa-locka di Miami pada awal pagi Rabu.

CNN Brasil melaporkan operasi itu dikenali secara dalaman sebagai Operasi Alba dan dirancang sebelum kempen pilihan raya presiden berakhir.

Penyiasat Brazil turut meneliti kemungkinan bantuan logistik daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Presiden Argentina, Javier Milei dan Presiden AS, Donald Trump, menurut laporan itu.

Bagaimanapun, tiada penglibatan langsung mana-mana kerajaan berkenaan dalam operasi itu disahkan.

Polis Persekutuan Brazil pada Rabu berkata, pihaknya tidak menemui sebarang rekod Bolsonaro melalui pusat pemeriksaan imigresen Brazil ketika meninggalkan negara itu.

Keberangkatannya berlaku selepas Hakim Mahkamah Agung Persekutuan, Alexandre de Moraes mengarahkan Bolsonaro menyerahkan pasport peribadi dan diplomatiknya dan melarang beliau meninggalkan Brazil.

Polis Persekutuan sedang menyiasat keadaan di sebalik pemergiannya dan mungkin memohon kepada Mahkamah Agung supaya membekukan aset miliknya, termasuk akaun bank, menurut CNN Brasil. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini