KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff, menyokong usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk meminda undang-undang berkaitan individu yang culas membayar nafkah.
Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff berkata, langkah itu mampu membela nasib wanita, terutama ibu tunggal yang terpaksa membesarkan anak-anak sendirian selepas ditinggalkan pasangan.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan tersebut. Hakikatnya, terlalu ramai wanita terkesan dengan keadaan ini sehingga ada yang berasa tersekat dan tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada kemelut berkenaan.
“Kebanyakan ibu tidak akan sesekali sanggup meninggalkan anak-anak.
“Jadi, mereka terpaksa berkorban serta memikul segala beban dan tanggungjawab seorang diri demi memastikan kelangsungan hidup keluarga,” katanya.
Kaka ditemui pada program Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, penyanyi Gila itu berkata, isu penindasan terhadap wanita termasuk pengabaian nafkah, masih belum menemui penyelesaian tuntas.
Kongsinya, terdapat ibu tunggal yang terpaksa berulang-alik ke mahkamah bertahun-tahun lamanya bagi menuntut hak mereka.
“Kita harus menghentikan perkara ini jika mahu melihat negara terus maju. Bagaimana kita mahu melangkah ke hadapan sekiranya wanita di negara ini masih ditindas?
“Sudah terlalu lama kita mendengar kisah ibu tunggal yang terpaksa turun naik mahkamah selama bertahun-tahun, namun akhirnya tiada keputusan atau perubahan yang memihak kepada mereka.
“Jadi, inilah masa yang tepat untuk kita melaksanakan mekanisme baharu bagi menangani isu ini,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa turut mengusahakan sistem semakan rekod nafkah yang lebih ketat, termasuk sistem semakan terhadap individu yang mempunyai tunggakan nafkah anak.
Selain Kaka, program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa penyanyi popular tanah air seperti Ella, Amy Search, Haziq Rosebi dan Rosma Sidek.
Rentak Budaya 2026 merupakan program yang bertujuan mendekatkan seni tradisi kepada generasi masa kini menerusi pendekatan lebih segar, sekali gus memastikan warisan budaya terus dihargai dan mendapat tempat dalam masyarakat. -UTUSAN











