Ibu, anak halang penguat kuasa tangkap anjing liar ditahan - Utusan Malaysia

Ibu, anak halang penguat kuasa tangkap anjing liar ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Dua wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota penguat kuasa wanita Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua suspek yang merupakan ibu dan anak berusia 52 dan 24 tahun itu ditahan susulan insiden pergelutan di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir di sini, kelmarin.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 5.45 pagi ketika sepasukan anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa operasi dijalankan, kedua-dua wanita terbabit dipercayai telah mempertikaikan tindakan anggota operasi, menghalang pelaksanaan tugas serta cuba melepaskan anjing yang sedang ditangkap.

“Keadaan itu kemudian mencetuskan pergelutan apabila seorang anggota penguat kuasa wanita berusia 45 tahun cuba meleraikan situasi tersebut. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada lengan kanan dan kiri berdasarkan pemeriksaan perubatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menahan kedua-dua suspek berkenaan di kediaman mereka di Bukit Pasir, di sini selepas menerima laporan polis berhubung kejadian.

“Ujian urin dibuat mendapati kedua-duanya negatif sebarang penyalahgunaan dadah. Mereka ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini