Lebih 290,000 penduduk larikan diri akibat perang Yaman - Utusan Malaysia

Lebih 290,000 penduduk larikan diri akibat perang Yaman

GAMBAR fail orang awam yang kehilangan tempat tinggal (IDP) berkumpul di pusat perlindungan sementara di Sekolah Shawkani, selatan Yaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lebih 290,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak awal Ogos susulan kembali tercetusnya konflik di Yaman, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB memberi amaran bahawa pertempuran itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, dengan ribuan wanita hamil turut menjadi antara mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Dana Kependudukan PBB (UNFPA) menganggarkan hampir 6,100 wanita hamil terma­suk dalam kalangan penduduk yang baru dipindahkan, termasuk 600 yang dijangka melahirkan anak dalam tempoh dua minggu akan datang, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Memuatkan artikel berkaitan…

Agensi itu telah mengerah­kan pasukan bergerak dan bidan ke pusat-pusat pemindahan dan menyalurkan bekalan kesihatan ibu.

Keganasan itu turut menjejaskan penduduk yang sebelum ini melarikan diri dari negara lain dan mencari perlindungan di Yaman. 

Lebih 65,000 pelarian dan pencari suaka berdepan situasi kemanusiaan yang semakin meruncing dengan pantas, me­nurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Gangguan perkhidmatan dan kenaikan harga makanan serta bahan api menyukarkan keluarga memenuhi keperluan asas masing-masing. 

Sejak Ogos, agensi itu membantu lebih 600 pelarian Somalia pulang ke negara asal secara sukarela.

Rakan kongsi kemanusiaan setakat ini berjaya menyalurkan bantuan makanan, bekalan kebersihan dan wang tunai kecemasan kepada hampir 249,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, selain meningkatkan usaha bantuan mengikut kemampuan, kata Dujarric.

PBB sekali lagi menggesa semua pihak terlibat dalam konflik supaya melindungi orang awam dan infrastruktur awam, menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa ser­ta membenarkan akses bantuan kemanusiaan yang selamat, ber­terusan termasuk tanpa halangan supaya bantuan dapat disalurkan kepada pihak memerlukannya. 

Perpindahan terbaharu itu menambah jumlah lebih 5.2 juta penduduk yang sudah kehilangan tempat tinggal di Yemen akibat konflik dalaman sebelum pertempuran kembali tercetus, manakala ribuan lagi melarikan diri menyeberangi Laut Merah ke Djibouti.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini