Sokongan pengundi pada BN perlu berdasar rekod kekuatan, perkhidmatan - Utusan Malaysia

Sokongan pengundi pada BN perlu berdasar rekod kekuatan, perkhidmatan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu berdasarkan kekuatan, rekod perkhidmatan dan tawaran calon sendiri.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, BN perlu menggunakan kempen berteraskan calon, rekod perkhidmatan, manifesto serta tawaran penyelesaian kepada rakyat, bukannya usaha menjatuhkan pihak lain.

Beliau dalam masa yang sama turut menggesa jentera penerangan di semua peringkat memainkan peranan aktif menyebarkan mesej dan kandungan calon BN bagi memastikan maklumat mengenai tawaran serta perancangan mereka sampai kepada lebih ramai pengundi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan dengan menjatuhkan pihak lain. Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian.

“Ikuti akaun rasmi calon, tonton, berikan tanda suka, tinggalkan komen yang membina dan kongsikan kandungan mereka. Setiap interaksi yang tulen dan organik membantu memperluas penyampaian maklumat kepada lebih ramai pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azalina turut mengarahkan jentera penerangan UMNO memperkukuh kempen komunikasi digital dan media sosial, mengambil kira 43.6 peratus pengundi di Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Katanya, pendekatan komunikasi parti perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan kelompok pengundi muda, selain memastikan ruang digital dipenuhi maklumat tepat serta penjelasan berfakta dan berhemah.

“Media sosial kini menjadi antara saluran utama pengundi mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan, justeru jentera penerangan di semua peringkat, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, perlu memainkan peranan lebih aktif sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap cabaran dalam ekosistem digital, termasuk penggunaan akaun automatik atau bot untuk menyebarkan sesuatu naratif secara berulang dan berskala besar.

Katanya, dakwaan berkaitan sekatan capaian atau ‘shadow ban’ serta penurunan kandungan oleh platform digital juga perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat sahih.

“Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi,” katanya.

Beliau berkata, kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) boleh dilaporkan menerusi saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.

Terdahulu, SPR mengesahkan seramai 79 calon daripada pelbagai parti bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata jumlah itu merangkumi 24 calon Pakatan Harapan (PH), BN (23), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (seorang) dan calon Bebas (tiga).

Daripada 23 calon BN, seramai 18 mewakili UMNO, empat MCA dan seorang MIC. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini