PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) disaran mengadakan temu duga terbuka bagi mencari presiden baharu yang benar-benar berkelayakan, termasuk calon dari dalam dan luar negara, bagi memastikan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu dipimpin individu terbaik untuk mengemudi industri bola sepak tempatan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, proses pemilihan secara terbuka perlu dilaksanakan bagi membolehkan setiap calon dinilai berdasarkan kemampuan, pengalaman serta kesesuaian mereka dengan keperluan semasa MFL.
Menurutnya, MFL perlu mencari calon terbaik tanpa terlalu terikat kepada nama atau individu tertentu, sebaliknya memberikan peluang kepada mereka yang mempunyai kelayakan untuk mengemukakan cadangan dan pendekatan bagi memperkukuh organisasi berkenaan.
“MFL perlu buat temuduga terbuka untuk pilih calon yang berkelayakan, sama ada dari dalam atau luar negara. Kita tentukan siapa calon terbaik untuk terajui MFL.
“Pemilihan presiden bukan sekadar proses mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya perlu disertai penilaian menyeluruh terhadap tanggungjawab besar yang menanti, termasuk memperkemas pentadbiran, memperkukuh pengurusan liga dan menangani isu yang membelenggu organisasi itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lagi pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli turut berharap MFL dapat membuat keputusan untuk menukar presiden dengan segera, namun menegaskan bahawa pemilihan pengganti perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan calon berkenaan benar-benar memenuhi kehendak organisasi.
Menurut Pekan, MFL perlu dilihat sebagai sebuah entiti perniagaan yang memainkan peranan penting dalam industri bola sepak negara, justeru individu yang dipilih untuk menerajui organisasi itu perlu memahami cabaran perniagaan, keperluan operasi serta tanggungjawab untuk memastikan kelangsungan liga.
“Dalam sesebuah entiti perniagaan, jawatan yang paling kritikal ialah pihak yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi dan petunjuk prestasi utama (KPI). Dalam konteks MFL, jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) amat penting kerana individu itu perlu memastikan operasi berjalan dengan baik.
“Bagi saya, CEO lebih penting berbanding presiden dari sudut menjalankan operasi harian. Kalau kita mempunyai CEO yang bagus dan mampu menguruskan MFL dengan baik, masalah operasi boleh ditangani dengan lebih berkesan. Presiden pula perlu menjalankan peranan yang jelas mengikut struktur organisasi,” katanya. – UTUSAN











