Ahli Bersama akan sembelih saya kalau jalin kerjasama - Rafizi

Ahli Bersama akan sembelih saya kalau jalin kerjasama – Rafizi

RAFIZI Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pendirian Parti Bersama Malaysia (Bersama) untuk bergerak solo tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan kekal, meskipun berdepan saingan sengit di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, beliau tidak mahu parti itu terheret dalam percaturan politik yang disifatkannya semakin mengelirukan rakyat.

Beliau secara berseloroh berkata, ahli dan penyokong Bersama sendiri mungkin tidak akan menerima, sekiranya parti itu tiba-tiba membuat keputusan menyertai mana-mana gabungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa kalau Bersama buat keputusan tiba-tiba nak masuk, nak bincang dengan gabungan ke apa, mereka ini akan sembelih saya.

“Keadaan politik Malaysia sekarang ini jadi kucar-kacir sebab gabungan. Dan gabungan ini atas alasan pragmatik kononnya untuk berkuasa,” katanya ketika ditemui ketika proses penamaan calon DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali di sini, hari ini.

Kerusi Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Bersama, Dr. Aliza Che Amran dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang, Adly Zahari; calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Mohd. Rafizi berkata, perubahan pembahagian kerusi antara parti menjelang PRN Melaka Ke-16 menunjukkan kerjasama politik boleh berubah pada saat akhir.

Beliau merujuk percaturan melibatkan PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan PN yang menambahkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Katanya, Bersama bersedia mengambil risiko bertanding tanpa gabungan kerana berpendapat rakyat tidak semestinya akan terus menyokong parti yang sama sepanjang masa.

“Kalau nak kira, Bersama ambil risiko kerana conventional wisdom ialah kena ada gabungan semua.

“Tapi saya rasa parti-parti politik juga terlalu yakin dengan rakyat itu kononnya akan kekal dengan dia sampai bila-bila. Sebenarnya rakyat akan berubah-ubah,” katanya.

Mohd. Rafizi berpuas hati dengan persiapan Bersama yang mempertaruhkan calon di 16 kerusi, sekali gus menjadikannya antara parti yang meletakkan jumlah calon tertinggi pada PRN kali ini.

Katanya, meskipun baharu berusia lima bulan, Bersama berjaya menggerakkan penyokong untuk mengiringi calon di setiap kawasan yang ditandingi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini