HULU TERENGGANU: Deretan pokok keruing neram berusia ratusan tahun yang tumbuh merimbun di sepanjang Sungai Berang sehingga membentuk terowong semula jadi seakan-akan kanopi hutan, menjadikan kawasan itu antara tarikan istimewa di Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kalang Rengas di Kampung Gunung, Ajil, di sini.
Keunikan landskap hijau yang menaungi laluan sungai itu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan popular dengan gelaran Little Amazon dalam kalangan peminat aktiviti rekreasi dan pencinta alam semula jadi.
Tarikan itu dapat dinikmati dengan lebih dekat menerusi aktiviti berkayak menyusuri Sungai Berang yang menawarkan pengalaman meneroka keindahan alam sambil menikmati suasana mendamaikan, jauh daripada kesibukan kehidupan bandar.
Menerusi pakej yang disediakan, pengunjung berpeluang berkayak sejauh 22 kilometer (km) dari kawasan berkenaan hingga ke Kampung Lebak, selain pilihan laluan lebih pendek mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.
Bagi memberikan pilihan kepada pengunjung, CBT Kalang Rengas menawarkan tiga pakej berkayak di Sungai Berang iaitu laluan sepanjang tujuh kilometer, lapan kilometer dan 22 kilometer.
Sepanjang perjalanan, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kehijauan hutan di sepanjang sungai malah berpeluang mendengar kicauan burung dan unggas serta melihat pelbagai hidupan yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat semula jadi.
Pengalaman menyusuri sungai turut menawarkan pemandangan haiwan seperti kerbau di pinggir sungai manakala kehadiran burung raja udang menjadi antara tarikan kepada pengunjung yang meminati aktiviti pemerhatian hidupan liar.

Lebih menarik, Sungai Berang turut menjadi habitat ikan sikang atau dikenali sebagai Malayan Trout yang mempunyai nilai tersendiri dalam ekosistem sungai berkenaan. Pengunjung yang bernasib baik berpeluang melihat ikan itu ketika menyusuri sungai, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada mereka yang ingin mengenali biodiversiti tempatan.
Pengurus Operasi CBT Kalang Rengas, Zul Hafiz Zaariq Abdul Hadi berkata, kawasan rekreasi itu diwujudkan pada 2019 bagi menyediakan ruang untuk orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan lasak seperti berkayak serta perkhemahan.
“Antara keistimewaan kawasan ini adalah sungainya yang cetek dan mesra kanak-kanak, selain dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, surau dan tapak perkhemahan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Selain aktiviti rekreasi, kawasan ini menjadi pilihan jabatan dan agensi untuk mengadakan program pembinaan pasukan atau team building. Kami juga mempunyai 10 instruktor bertauliah yang bertindak sebagai jurupandu bagi memastikan aktiviti berkayak dapat dijalankan dengan teratur,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
PEMULIHARAAN ALAM JADI KEUTAMAAN
Dalam usaha membangunkan CBT Kalang Rengas sebagai destinasi rekreasi, aspek pemuliharaan alam semula jadi diberikan perhatian bagi memastikan keindahan Sungai Berang terus terpulihara.
Zul Hafiz Zaariq berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melaksanakan usaha penanaman semula pokok keruing neram di kawasan pinggir sungai sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.
Langkah itu penting bagi memastikan kawasan yang menjadi tarikan utama pengunjung tersebut terus dipelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Keunikan landskap sungai dan kepelbagaian hidupan di kawasan berkenaan merupakan aset penting yang perlu dijaga bagi memastikan aktiviti pelancongan dapat diteruskan tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem.
“Keindahan Sungai Berang dan sumber biodiversiti yang terdapat di sini perlu dipulihara supaya tidak terjejas akibat aktiviti yang dijalankan. Kami mahu pengunjung bukan sahaja datang untuk berkayak dan beriadah tetapi menghargai alam semula jadi serta memahami kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian sungai,” katanya.
JANA PENDAPATAN KOMUNITI SETEMPAT
Selain menjadi tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi, kewujudan CBT Kalang Rengas turut membuka peluang kepada penduduk Kampung Gunung dan kawasan sekitarnya menjana pendapatan sampingan.
Peluang ekonomi itu merangkumi penyewaan peralatan perkhemahan, penyediaan barangan untuk aktiviti mandi-manda seperti pelampung serta penjualan makanan dan minuman menerusi gerai yang diusahakan penduduk setempat.Malah, penglibatan anak muda tempatan sebagai instruktor berkayak turut membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan melalui kemahiran dan kepakaran yang dimiliki.
Zul Hafiz Zaariq berkata, penglibatan komuniti setempat adalah antara matlamat utama penubuhan CBT Kalang Rengas bagi memastikan manfaat pembangunan pelancongan dapat dikongsi bersama penduduk.
“Kebanyakan aktiviti sampingan di kawasan ini diusahakan oleh penduduk tempatan manakala instruktor yang terlibat juga terdiri daripada anak muda setempat. Kita mahu kewujudan CBT ini memberikan peluang kepada penduduk untuk memperoleh pendapatan tambahan, selain membantu merancakkan ekonomi komuniti melalui kedatangan pengunjung,” katanya.
Usaha itu sekali gus memperlihatkan potensi pelancongan berasaskan komuniti sebagai pemangkin ekonomi setempat apabila sumber alam semula jadi dimanfaatkan secara terancang dan memberikan pulangan kepada penduduk.
PENGIKTIRAFAN
Kejayaan CBT Kalang Rengas turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai CBT Terbaik Negeri Terengganu 2025 dan menerima Anugerah Desa Madani 2025. Terbaharu, CBT Kalang Rengas menerima Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang melayakkannya menerima geran pembangunan berjumlah RM20,000.
Dengan keunikan Little Amazon, pengalaman berkayak menyusuri Sungai Berang serta penglibatan aktif penduduk setempat, CBT Kalang Rengas berpotensi terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi Terengganu sambil menyokong ekonomi komuniti. – UTUSAN










