‘Menang satu kerusi, deposit selamat itu sudah kejayaan besar Bersama’ - Utusan Malaysia

‘Menang satu kerusi, deposit selamat itu sudah kejayaan besar Bersama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Bagi bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, LEE CHEAN CHUNG, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar medan menguji kekuatan, tetapi peluang membuktikan politik Malaysia masih mempunyai ruang untuk pilihan ketiga, malah katanya, memenangi satu kerusi dan menyelamatkan deposit calon bertanding sudah dianggap kejayaan besar bagi Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pada masa sama, beliau turut mempersoal prinsip bekas partinya atas persefahaman dengan Bersatu yang pernah dianggap ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton dan pengundi di Melaka wajar menilai maksud kerjasama ‘politik dinosaur’ yang berpaksi atas kompromi semata-mata demi kuasa itu.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, bekas Bendahari Agung PKR itu berkata, Bersama memilih bertanding di 16 kerusi berdasarkan profil pengundi dan kekuatan calon tempatan, bukan untuk menjadi pengacau di setiap penjuru, selain menegaskan jika PH bimbang kehilangan undi, cara terbaik kembali kepada janji Buku Harapan, bukan menyalahkan parti baharu yang menawarkan pilihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

MINGGUAN MALAYSIA: Selepas hampir 18 tahun bersama PKR, apakah faktor paling besar mendorong saudara meninggalkan parti itu dan menyertai Bersama? Adakah keputusan ini lebih berpunca daripada perbezaan prinsip dan dasar, atau kekecewaan terhadap kepimpinan parti?
Saya tidak mahu berpura-pura bahawa ini satu keputusan mudah. Tempoh 18 tahun bukan masa yang singkat. Saya bermula sebagai pegawai penyelidik di pejabat Ketua Pembangkang pada 2008, turun ke jalan untuk #KitaLawan, dan berkempen menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dipenjarakan.

Tetapi jawapan jujurnya, faktor utama adalah pendirian, dasar, dan kekecewaan terhadap kepimpinan datang kemudian sebagai akibatnya.

Apabila kerajaan enggan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat mafia korporat, tidak mengumumkan minit mesyuarat yang mengesahkan keputusan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, ia telah menghakiskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang menuntut reformasi.

Kemudian, beberapa dasar yang membebankan rakyat, Akta Pembaharuan Bandar yang menggugat hak pemilik kediaman, pengambilan pekerja asing yang tidak terkawal, perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menekan kos sara hidup yang mana saya membangkitkannya melalui saluran dalaman. Saya tidak mendapat jawapan, yang saya dapat adalah tekanan supaya diam.

Jadi, ini bukan soal perasaan terhadap individu. Ini soal sama ada sebuah parti reformasi masih mahu mendengar suara reformasi di dalamnya sendiri. Apabila saya digantung keahlian selama tiga tahun kerana pilihan politik saya, jawapannya sudah jelas.

‘HARI INI JABAT TANGAN ATAS PENTAS, ESOK SALING SINDIR’
Saudara menyifatkan politik sedia ada sebagai ‘politik dinosaur’ dan mengkritik budaya parti yang dikatakan bekerjasama di hadapan tetapi menikam sesama sendiri di belakang. Apakah bukti paling jelas yang mendorong saudara membuat penilaian itu, dan apakah pembaharuan konkrit yang Bersama tawarkan supaya tidak mengulangi budaya sama?

Buktinya ada di depan mata rakyat setiap hari. Hari ini satu gabungan berjabat tangan di pentas, esok pemimpinnya saling menyindir di media. Di peringkat negeri ada parti yang berunding kerusi dengan satu pihak sambil membuka pintu kepada pihak lain.

Dalam parti sendiri, suara yang berbeza tidak dijawab dengan hujah, tetapi dengan tindakan disiplin dan penarikan akses. Itulah yang saya maksudkan dengan politik dinosaur iaitu politik lapuk yang dikuasai generasi lama, yang hidup untuk mempertahankan kedudukan, bukan untuk menyelesaikan masalah.

Bersama tidak kebal daripada godaan yang sama. Sebab itu, kita perlu mengikat diri dengan peraturan, bukan janji. Calon Bersama di Melaka telah mengisytiharkan harta mereka, dan mereka akan membentangkan perbelanjaan pilihanraya secara terbuka. Itu langkah pertama.

Anggota Bersama juga mengumpul mata ganjaran melalui penyertaan dan penganjuran aktiviti dan merujuk rakan lain untuk menyertai Bersama. Ini adalah supaya anggota diukur mengikut prestasi kerja, dan bukan lagi melalui cara warlord atau politik wang.

Saya mahu kita pergi lebih jauh, perbezaan pendapat dalam parti mesti boleh dibawa secara terbuka tanpa hukuman. Setiap wakil rakyat Bersama melaporkan prestasi dan perbelanjaan peruntukan secara berkala kepada pengundi; dan pemilihan kepimpinan parti tahun depan mesti telus dan terbuka kepada ahli.

Saudara memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya selepas penggantungan keahlian PKR selama tiga tahun. Bagaimanakah saudara menjawab kritikan bahawa pengundi yang memberikan mandat kepada saudara pada PRU15 kini kehilangan wakil yang dipilih? Adakah keputusan itu satu tanggungjawab politik atau pengorbanan yang perlu dilakukan demi prinsip?
Saya terima kritikan itu dengan hormat, termasuk daripada Bersih. Ia soalan yang sah dan saya tidak akan mengelak.

Tetapi mari kita jujur tentang pilihan yang ada. Pada PRU15, pengundi Petaling Jaya memilih calon PKR di bawah lambang Pakatan Harapan (PH). Apabila parti itu telah menyimpang dari landasan asal dan selepas teguran dibuat, saya digantung selama tiga tahun.

Saya berdepan dua jalan, terus memegang kerusi atas tiket parti yang tidak lagi saya wakili, atau memulangkan mandat itu.

Bagi saya, perletakan jawatan juga adalah satu pendirian, tanggungjawab kepada mandat, dan harga yang perlu dibayar demi prinsip. Saya kehilangan gaji, kedudukan dan peruntukan. Yang tidak hilang adalah kerja.

Pusat khidmat saya di Petaling Jaya masih dibuka dan masih melayan penduduk setiap hari. Saya masih di sini, kerja yang sama, cuma di atas platform yang lebih jujur dan pada PIlihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), pengundi Petaling Jaya bebas menilai saya semula.

BERI PELUANG KEPADA PILIHAN KETIGA
Saudara diberi tanggungjawab membantu mengemudi kempen Bersama di PRN Melaka, termasuk membina jentera di kawasan majoriti pengundi Cina. Apakah sasaran sebenar parti dalam PRN kali ini, sekadar mengekalkan deposit, memenangi kerusi atau membuktikan Bersama mampu menjadi kuasa politik baharu?
Saya akan jawab dengan jujur kerana rakyat sudah muak dengan ahli politik yang menjanjikan bulan dan bintang. Di Johor, kesemua 15 calon kita hilang deposit. Walaupun parti baru dua minggu pada waktu itu, tapi kita tidak menyembunyikan pengalaman pahit tersebut.

Di Melaka kita masuk dengan lebih bersedia. Calon diumumkan seawal Ogos, iaitu yang pertama di antara semua parti, supaya pengundi ada masa menilai mereka.

Kesemua 16 calon ialah anak tempatan atau orang yang dikenali komuniti. Mereka juga berkaliber, kalangan doktor, peguam, korporat dan usahawan. Mereka mewakili sebilangan besar rakyat biasa Melaka.

Sasaran kita bertingkat. Pertama, menyelamatkan deposit di sebahagian besar kerusi yang ditandingi, itu bukti asas bahawa Bersama ada akar.

Kedua, memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi, satu suara Bersama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah cukup untuk menunjukkan apa itu wakil rakyat yang tidak tunduk kepada sesiapa.

Ketiga, dan paling penting, membuktikan bahawa pengundi bandar dan separa bandar, termasuk pengundi Cina yang selama ini dianggap ‘simpanan tetap’, bersedia memberi peluang kepada pilihan ketiga.

JIKA BIMBANG HILANG UNDI, PH KEMBALI KEPADA JANJI BUKU HARAPAN
Dengan Bersama memasuki medan pilihan raya yang turut menyaksikan persaingan PH, BN dan PN, bagaimana memastikan kehadiran Bersama tidak sekadar memecahkan undi atau melemahkan parti-parti yang berkongsi sebahagian agenda reformasi?
Undi bukan milik mana-mana parti. Undi milik rakyat. Hujah ‘pecah undi’ itu sendiri adalah sebahagian daripada politik lama, kerana ia menganggap pengundi tiada pilihan selain kekal setia walau apa pun yang berlaku.

Bersama tidak bertanding di semua 28 kerusi. Kita memilih 16 kerusi berdasarkan profil pengundi dan kekuatan calon tempatan, bukan untuk menjadi pengacau di setiap penjuru.
Soalan sebenar adalah, jika parti-parti yang mengaku reformis sudah berhenti melaksanakan reformasi, siapa yang melemahkan agenda itu? Bukan Bersama.

Kalau PH bimbang kehilangan undi, cara terbaik adalah kembali kepada janji Buku Harapan, bukan menyalahkan parti baharu yang menawarkan pilihan.
Jika Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sukar menampilkan calon baharu atas sebab budaya politik dinosaur, jangan salahkan Bersama kerana kami berjaya menampilkan calon yang segar, bermutu dan komited.

Persaingan yang sihat memaksa semua pihak bekerja lebih keras untuk rakyat. Itu bukan kelemahan demokrasi, itulah demokrasi.

KERJASAMA PH-BERSATU, APA YANG BERUBAH?
Bagaimana saudara melihat persaingan di PRN Melaka ini, adakah PH mampu membuat kejutan dengan persefahaman/electoral pact mereka dengan Bersatu yang sebelum ini dilabel sebagai dalang dalam Langkah Sheraton?
PRN Melaka ini akan menjadi pertandingan yang paling kabur sempadannya dalam ingatan saya. BN dan PN dilaporkan muktamad bekerjasama.

PH Melaka kata mahu bertanding solo, tetapi pemimpin kanan PH dan Bersatu dilaporkan sudah duduk semeja dan memperincikan cadangan kerjasama.

Jika benar PH berpakat dengan Bersatu, saya minta mereka jelaskan kepada rakyat, apa yang berubah? Langkah Sheraton menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat pada 2020. Selama enam tahun, penyokong PH diberitahu bahawa pengkhianat tidak boleh dimaafkan. Hari ini, jika kerusi menjadi taruhan, prinsip itu boleh dirunding pula?

Itulah sebenarnya bukti paling jelas tentang politik dinosaur yang saya sebut. BN, PH dan PN/Pas sering berpecah dan bergabung tanpa menampilkan garis perjuangan yang jelas.

Penyokong mereka sendiri yang akan bertanya sama ada perjuangan mereka masih bermakna.

KERJASAMA DENGAN SYARAT JELAS, TIDAK JADI ‘PAK TURUT’
Adakah sampai satu masa parti Bersama bersedia mencapai persefahaman pilihan raya dengan mana-mana pihak sekiranya keadaan memerlukan?
Bersama tidak akan bergabung dengan mana-mana blok besar sebelum pilihan raya kerana kami menganggap mereka adalah sebahagian daripada masalah yang rakyat hadapi sekarang.

Pasca pilihan raya, sekiranya Bersama berjaya memenangi kerusi, segala kerjasama perlu disamping dengan syarat yang jelas dan dasar Bersama yang diumumkan sebelum pilihan raya, bukan dirunding di bilik hotel selepas keputusan diumumkan.

Pertama, berasaskan dasar dan program yang bertulis, bukan pembahagian jawatan. Kedua, tidak dengan pihak yang terlibat dalam rasuah atau yang pernah mengkhianati mandat rakyat. Ketiga, Bersama mesti kekal bebas bersuara walaupun dalam kerjasama, kita tidak akan menjadi parti ‘pak turut’.

Namun, buat masa ini, keutamaan kita adalah membina kekuatan sendiri dahulu.

ISU NIK NAZMI, SERAH PIHAK BERKUASA
Susulan kontroversi yang melibatkan pemimpin Bersama, termasuk laporan mengenai siasatan terhadap bekas menteri yang kini pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, apakah langkah yang akan diambil parti untuk memastikan isu integriti tidak menjejaskan keyakinan pengundi dan menjadi beban kepada calon parti menjelang PRN Melaka?
Pada hemat saya, isu ini lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

PEGANGAN KEPADA NILAI DAN RAKYAT, BUKAN PEMIMPIN PARTI
Apakah satu prinsip yang saudara tidak lagi sanggup kompromi ketika bersama PKR, tetapi kini mahu jadikan asas perjuangan Bersama?
Satu prinsip iaitu wakil rakyat bertanggungjawab kepada pegangan nilai dan rakyat, bukan kepada pemimpin parti.

Dari tahun 2008 hingga 2022, nilai perjuangan saya adalah selari dengan gerakan politik semasa. Tetapi Kerajaan Perpaduan mengemukakan dasar-dasar dan keputusan yang tidak lagi menghormati mandat rakyat yang mahukan integriti dan budaya politik yang bersih, itu garis yang saya tidak sanggup lintasi lagi.

Di Bersama, saya mahu prinsip ini diterjemah menjadi amalan: wakil rakyat harus lebih jujur kepada nilai dan asas perjuangan mereka, dan sentiasa boleh menegur pimpinan sekiranya keputusan tersebut telah menyimpang dari landasan asal.

Setiap keputusan besar dijelaskan kepada pengundi, dan tiada pemimpin termasuk saya yang kebal daripada teguran.

Apakah strategi khusus Bersama untuk mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu, Cina dan India di Melaka?
Strategi pertama adalah tidak bercakap dengan setiap kaum menggunakan skrip berbeza. Itu cara parti lama. Kebimbangan rakyat Melaka hampir sama iaitu kos sara hidup, gaji, perumahan, peluang kerja untuk anak muda, dan kerajaan yang bersih.Kedua, calon tempatan. Rakyat percaya kepada orang yang mereka kenal, bukan kepada logo. Itu sebab calon kita diumumkan awal dan kesemuanya dikenali di kawasan masing-masing.

Ketiga, kerja di lapangan. Saya diberi tanggungjawab membina jentera di kawasan majoriti Cina. Pengundi Cina sudah lama dianggap ‘deposit tetap’ DAP.

Saya mahu mereka tahu ada pilihan yang menghormati undi mereka dan berani bersuara tentang isu seperti pendidikan, isu-isu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan ruang serta kebebasan komuniti minoriti di Malaysia.

Bagi pengundi Melayu, Bersama menawarkan kepimpinan Melayu yang bersih dan berasaskan dasar, bukan sentimen.

Bagi pengundi India, kita akan turun ke ladang lama, taman perumahan dan kuil, mendengar dahulu sebelum berjanji. Bersama hanya akan berjaya jika rakyat pelbagai kaum melihat diri mereka dalam barisan calon dan kepimpinan kita.

MELAKA KILOMETER PERTAMA, PRU16 MARATON
Apakah pencapaian yang Bersama mesti tunjukkan dalam PRN ini untuk meyakinkan rakyat bahawa parti tersebut mempunyai masa depan menjelang PRU16?
Ukuran paling penting adalah peningkatan berbanding Johor. Di Johor kita memperoleh sekitar lima peratus undi secara purata.

Jika di Melaka kita dapat mencapai keputusan yang lebih baik, bahkan dapat menyelamatkan deposit di banyak kerusi dan mencatat undi yang ketara di kawasan bandar, itu sudah menunjukkan arah yang betul.

Jika kita menang walaupun satu kerusi, itu satu kejayaan besar untuk parti yang baru berusia enam bulan.

Tetapi masa depan parti tidak diukur dengan satu PRN sahaja. Bagi saya, ada tiga lagi petanda iaitu jentera yang terus hidup selepas hari mengundi, calon yang terus berkhidmat walaupun kalah, dan anak muda yang mula melihat politik sebagai ruang untuk berkhidmat, bukan untuk berpaut.

PRU16 adalah perlumbaan maraton. (PRN) Melaka adalah kilometer pertama yang serius. Kita mahu keluar dari Melaka dengan asas yang lebih kukuh, data pengundi yang lebih baik, dan keyakinan bahawa pilihan ketiga tidak akan hilang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini