KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarif Ghazzi, memaklumkan dia perlu mencuba melakonkan pelbagai watak yang berbeza dari segi latar belakang dan peringkat umur.
Katanya, usaha itu adalah untuk memecahkan tembok stereotaip masyarakat yang selama ini memandangnya sebagai pelakon yang hanya mampu melakonkan watak pelajar sekolah.
“Tentulah sukar untuk mengubah stereotaip masyarakat lebih-lebih lagi apabila seorang pelakon itu pernah membawakan watak pelajar sekolah.
“Tapi saya cuba ubah pandangan orang dengan membawakan watak yang lebih dewasa contohnya yang berumur dalam lingkungan awal 20-an ke atas.
“Dalam Kudrat 1968 pula saya kembali kepada watak pelajar sekolah dan mungkin nanti saya membawa watak dewasa pula.
“Semua ini saya lakukan supaya penonton melihat kemampuan saya untuk membawa pelbagai watak,” katanya dalam sidang media drama Dua Nyawa di Pavilion Damansara heights di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zarif memaklumkan dia terbuka untuk menjayakan drama atau filem yang pelbagai asalkan naskah tersebut mempunyai pengisian yang baik.
“Saya tidak kisah untuk melakukan pelbagai watak asalkan projek drama atau filem itu berkualiti dan membawa mesej yang baik.
“Itu juga menjadi salah satu cara saya untuk memecahkan tembok stereotaip masyarakat terhadap mutu lakonan saya,” ujarnya.
Mengulas tentang populariti yang dikecapinya selepas menjadi bintang filem kudrat 1968, Zarif memaklumkan bukan mudah untuk menjadi orang terkenal kerana perkara itu datang dengan tanggungjawab yang besar.
“Tidak dinafikan populariti yang saya kecapi hari ini didatangkan dengan tanggungjawab yang besar. Ada kalanya, seseorang pelakon itu menidakkan perkara tersebut.
“Menjadi pelakon adalah satu pilihan. Samalah dengan bidang yang lain seperti menjadi juruterbang dan sebagainya.
“Jadi bergelar pelakon sebenarnya ada tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat,” kongsinya.-UTUSAN











