PETALING JAYA: Kerajaan komited memperkukuh industri pos dan kurier melalui pembaharuan kawal selia, kerjasama strategik dan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, daya saing industri serta keselamatan pengguna.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Seri Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu,
kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741] serta merancang pewartaan Kaedah-kaedah Perkhidmatan Pos (Keselamatan Perkhidmatan Pos dan Barang Pos yang Dilarang) 2026 (PSR2026), tertakluk kepada proses kelulusan berkaitan.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh keselamatan, akauntabiliti industri dan perlindungan pengguna, seiring perkembangan pesat e-dagang,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor, Shah Alam hari ini.
Bertemakan ‘Memelihara Industri, Memperkukuh Kepercayaan’, sambutan anjuran Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mengiktiraf sumbangan industri bernilai RM6.9 bilion kepada ekonomi digital negara.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Inisiatif Anti-Scam Parcel Shield yang diterajui Postal Forum dengan sokongan MCMC yang diwujudkan bagi menangani penipuan berkaitan penghantaran bungkusan, menggalakkan perkongsian maklumat antara syarikat kurier dengan platform e-dagang serta penyebaran amaran penipuan bagi meningkatkan perlindungan dan keyakinan pengguna.
MCMC turut menggalakkan Inisiatif Perkongsian Rangkaian Kurier (Courier Network Sharing).
Melalui pemeteraian memorandum kolaborasi, projek rintis penghantaran peringkat akhir (last-mile delivery) di lokasi terpilih akan menilai potensi pengoptimuman infrastruktur, pengurangan pertindihan operasi dan peningkatan akses perkhidmatan sebelum dipertimbangkan untuk diperluas.
Transformasi digital turut diperkukuh melalui pembangunan Sistem Pengalamatan Nasional (NAS) bagi meningkatkan ketepatan alamat dan kecekapan penghantaran serta PAKEJ Map yang memudahkan pengguna mencari lebih 47,000 lokasi perkhidmatan pos dan kurier di seluruh negara.
HKN2026 turut mengiktiraf sumbangan dan profesionalisme warga industri menerusi anugerah Pekerja Kurier Terbaik, Cabaran Pemanduan Selamat dan program MyCSP Courier Safety Passport dengan penekanan terhadap keselamatan dan kualiti perkhidmatan. -UTUSAN











