JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga tempatan berdepan detik malang apabila memindahkan wang syarikat berjumlah RM486,000 selepas terpedaya taktik penipuan penyamaran oleh individu yang menyamar sebagai majikannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian penipuan itu daripada mangsa yang berusia 35 tahun, semalam.
Beliau berkata, mangsa dihubungi melalui pesanan ringkas daripada nombor telefon seorang individu yang menyamar sebagai majikannya kira-kira pukul 10 pagi, hari sama.
“Individu berkenaan telah meminta mangsa untuk memindahkan wang syarikat berjumlah RM486,000 ke akaun suspek. Pemindahan wang tersebut dikatakan kononnya bagi tujuan pembayaran bagi satu kontrak baharu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas diminta untuk membuat transaksi tambahan dengan jumlah sama atas alasan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azrol Anuar, mangsa kemudian bertindak menghubungi majikannya menerusi panggilan WhatsApp bagi mendapatkan kepastian, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.
“Semakan lanjut mendapati nombor telefon majikannya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN











