ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) melahirkan keyakinan keadaan ekonomi negara yang semakin baik serta kestabilan politik ketika ini mampu memberikan kelebihan kepada gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 Nov ini.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan berkata pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang hampir empat tahun mentadbir negara, termasuk pengukuhan nilai ringgit dan kemasukan pelaburan asing, perlu disampaikan secara berkesan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen.
Ditemui media di pusat penamaan calon (PPC) Machap Jaya di Kompleks JAPERUN Machap Jaya, Bukit Bulat di sini hari ini, beliau berkata keputusan pilihan raya masih terbuka dan bergantung kepada penerimaan rakyat terhadap tawaran serta usaha yang diketengahkan setiap gabungan politik.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata jentera PH perlu turun padang mendekati pengundi bagi menjelaskan kejayaan serta inisiatif kerajaan serta perancangan yang ingin dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Maklumat yang kita ada, apa kejayaan kita dan apa yang telah kita laksanakan mesti sampai kepada rakyat. Kalau tidak sampai kepada rakyat, memang mereka tidak tahu apa yang sedang dilaksanakan.
“Jadi, aspek penyampaian mesej dan maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi perlu ditambah baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata calon PH di kerusi Dewan Undangan (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin dari PKR, mempunyai pengalaman politik luas dan bukan individu asing kepada pengundi di Melaka.
Beliau berkata pengalaman Lim yang pernah memenangi kerusi itu dan berkhidmat sebagai Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, memberikan kelebihan dari segi pengalaman dan pengenalannya dalam kalangan masyarakat setempat.
Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Machap Jaya merupakan antara kerusi yang mempunyai potensi besar untuk dimenangi PH walaupun dikatakan bakal menerima saingan sengit daripada penyandang Datuk Ngwe Hee Sem (BN-MCA).
“Saya rasa ini saingan seimbang kerana masing-masing mempertaruhkan rekod, pencapaian dan juga khidmat pentadbiran masing-masing. Ini peluang sangat baik untuk PH dengan keadaan yang ketika ini banyak memberikan kelebihan daripada beberapa faktor, termasuk kestabilan ekonomi dan belanjawan,” katanya.
Beliau turut memuji langkah PKR yang mempertaruhkan tiga calon wanita pada PRN Melaka kali ini.
Terdahulu, Ramanan dan Fadhlina bersama-sama Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden PKR merangkap Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Maszlee Malik mengiringi Lim ke PPC Machap Jaya.
Kerusi DUN Machap Jaya kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lim, Ngwe serta B. Prasanth Kumar mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka dan pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/ – BERNAMA











