PETALING JAYA: Terengganu FC (TFC) tekad mengelak daripada kehilangan mata apabila berdepan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini dalam usaha menghidupkan kembali kempen Liga Super musim ini.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengintai kemenangan kedua selepas permulaan kurang meyakinkan, dengan keputusan positif amat diperlukan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.
Nafuzi mengakui persiapan pasukan berjalan lancar dengan perhatian diberikan kepada usaha memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti, selain memastikan pemain bersedia mengatasi cabaran tuan rumah.
Menurutnya, tekanan susulan keputusan kurang memuaskan adalah lumrah dalam bola sepak, namun perkara paling penting adalah pemain tidak mudah berputus asa dan terus berusaha meningkatkan prestasi.
“Apa yang penting, kita tidak boleh berputus asa. Kita perlu terus berusaha, memperbaiki kelemahan dan bekerja lebih keras berbanding sebelum ini.
“Sabah kuat apabila bermain di tempat sendiri. Dari segi fizikal, mereka juga nampak kuat, selain mempunyai pertahanan dan serangan yang baik. Secara keseluruhan, Sabah adalah sebuah pasukan yang bagus musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Nafuzi, tempoh rehat selepas pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) turut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menilai prestasi pasukan serta memperkemaskan corak permainan menjelang pertembungan tersebut.
Bagaimanapun, Sang Penyu tidak dapat menggunakan khidmat perancangan tengahnya, Manuel Ott yang disahkan mengalami kecederaan tapak kaki, manakala tahap kecergasan Victor Ruiz masih perlu dinilai susulan masalah kecederaan otot aduktor.
Sebagai rekod, Terengganu mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan daripada lima perlawanan.
Sementara itu, satu lagi aksi Liga Super yang akan berlangsung melibatkan pertembungan Penang FC melayan kunjungan Melaka FC di Stadium Bandaraya. – UTUSAN











