PETALING JAYA: Sebanyak 43 jenis sukan membabitkan 473 acara bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2027, dengan senarai berkenaan dimuktamadkan tanpa ruang untuk sebarang penambahan baharu.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sukan SEA kali ketiga membabitkan presiden dan wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara-negara Asia Tenggara.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, keputusan berkenaan dibuat bersama Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) selepas mengambil kira kekangan masa serta jadual penganjuran temasya sukan antarabangsa lain yang semakin hampir.
“Semua wakil negara bersetuju dengan 43 sukan dan 473 acara yang diputuskan hari ini. Ini keputusan muktamad dan tiada lagi sukan lain boleh dimasukkan kerana masa sudah suntuk.
“Semua negara anggota jelas dan berpuas hati, malah tiada bantahan terhadap senarai sukan yang dipertandingkan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) di sini semalam.
Bagaimanapun, senarai berkenaan hanya membabitkan Sukan SEA, manakala perincian sukan bagi temasya Sukan Para ASEAN 2027 akan diumumkan secara berasingan.
Antara kelainan edisi kali ini ialah penampilan sulung sukan padel, selain dancesport yang turut disenaraikan sebagai sebahagian daripada 43 sukan dipertandingkan.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, Sarawak dipilih sebagai venue dancesport, manakala pertandingan padel akan berlangsung di Kuala Lumpur. – UTUSAN











