AS mahu bom Iran selama seminggu - Utusan Malaysia

AS mahu bom Iran selama seminggu

AMERIKA Syarikat (AS) melakukan persediaan untuk menyerang Iran selama tujuh hari. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Amerika Syarikat (AS) dan Israel sedang membuat persiapan bagi kemungkinan melancarkan kempen serangan udara selama seminggu terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November ini.

AS dan Israel dilaporkan bakal menyasarkan kepimpinan negara itu, kemudahan nuklear, loji tenaga serta infrastruktur kritikal, ketika negara-negara Teluk meningkatkan usaha diplomatik bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak.

Ketika Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menggesa semua pihak supaya bertenang dan mengutamakan penyelesaian politik, Arab Saudi dilaporkan meminta Washington memberi lebih banyak masa kepada rundingan, manakala Qatar mengetuai usaha terakhir bagi mencapai persetujuan antara Teheran dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Axios, pegawai AS dan Israel sedang membuat persiapan bagi kemungkinan operasi ketenteraan selama tujuh hari, meskipun Trump masih belum membuat keputusan muktamad. 

Sementara itu,  Associated Press (AP) secara berasingan melaporkan Washington memberi amaran kepada beberapa sekutu di Asia Barat supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan tindakan ketenteraan baharu dan tindak balas Iran yang mungkin menyasarkan kemudahan tenaga serta infrastruktur kritikal.

Ketua Tentera Israel, Jene­ral Eyal Zamir, mengadakan perbincangan dengan Komander Markas  Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper pada Isnin bagi menyelaraskan persiapan menghadapi kemungkinan serangan, lapor Axios.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut berikrar untuk ‘menyelesaikan tugas’ terhadap Iran, sekali gus menunjukkan bahawa matlamatnya bukan sekadar melemahkan keupayaan nuklear dan ketenteraan Teheran.

Ketika berucap pada 20 Oktober lalu, Netanyahu berkata, kempen itu hanya dianggap selesai sekiranya kepimpinan Iran digulingkan, sambil menyifatkan perubahan rejim sebagai objektif utama Israel. 

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Trump, tetapi tiada pengesahan bahawa Washington bersetuju untuk mencapai matlamat berkenaan. 

Akhbar Wall Street Journal turut melaporkan Washington memberi amaran kepada beberapa negara Teluk supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan kempen ketenteraan singkat tetapi sengit selepas pilihan raya berkenaan.

Pentagon turut memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau itu dengan mengerahkan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan kapal serangan amfibia yang membawa anggota Kor Marin AS ke arah Teluk Arab.

Menurut AP, penempatan itu membabitkan kira-kira 9,000 anggota tentera dan berpotensi meningkatkan kehadiran tentera laut AS kepada lebih 20,000 anggota, termasuk pelaut serta Kor Marin, dengan sokongan ratusan pesawat.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menggugurkan Leftenan Jeneral Brett Sylvia, pegawai kanan Pentagon yang bertanggungjawab terhadap strategi, perancangan dan dasar di bawah Ketua Turus Bersama Tentera AS. 

Laman CNN melaporkan bahawa tiada penjelasan diberikan berhubung pemecatan itu, yang berlaku ketika persiapan bagi kemungkinan operasi ketenteraan terhadap Iran sedang dijalankan.

Kementerian Luar UAE menggesa semua pihak supaya bertindak bijaksana dan mengutamakan penyelesaian politik bagi membantu meredakan ketegangan serta mengelakkan konflik kembali tercetus secara besar-besaran.

Sementara itu, Arab Saudi dilaporkan meminta Trump supaya tidak tergesa-gesa melancarkan satu lagi kempen ketenteraan dan memberi lebih banyak masa kepada pengantara serantau untuk mendapatkan persetujuan.

Menurut Axios, pegawai Arab Saudi menyampaikan kebimbangan Teheran mengenai kemungkinan serangan udara selepas pilihan raya kepada Rumah Putih susulan beberapa hubungan diplomatik baru-baru ini.

Perang Iran itu bermula pada 28 Februari selepas AS bersama Israel melancarkan serangan ke atas Teheran selepas rundingan nuklear antara Teheran dengan Washington gagal di Switzerland

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini