PETALING JAYA: Penanda aras gaji di Malaysia perlu dinilai mengikut jawatan, tahap pengalaman dan lokasi geografi bagi memberi gambaran sebenar kepada pencari kerja serta majikan dalam pasaran buruh semasa.
Pengarah Urusan Jobstreet by Seek Malaysia, Nicholas Lam berkata, julat gaji yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memberikan garis panduan asas, namun penilaian khusus mengikut peranan tetap diperlukan.
Katanya, laporan statistik upah pekerja sektor formal suku kedua 2026 oleh DOSM mencatatkan penanda aras gaji penengah bulanan sebanyak RM3,000 bagi warga tempatan pada Jun 2026, meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Menerusi data Jobstreet by Seek, julat minima gaji iklan yang ditawarkan bagi suku kedua 2026 secara keseluruhannya kekal stabil pada paras RM3,000, sama seperti yang direkodkan pada suku kedua 2025.
“Bagaimanapun, pemantauan mengikut kategori pekerjaan menunjukkan pertumbuhan ketara dalam sektor utama seperti Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan yang menyaksikan gaji minima meningkat 14.3 peratus kepada RM4,000 berbanding RM3,500 sebelumnya.
“Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) turut mencatatkan kenaikan sebanyak 11.1 peratus daripada RM4,500 kepada RM5,000 dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Nicholas berkata, pencari kerja dan majikan perlu membuat perbandingan berdasarkan kemahiran khusus, tahap senioriti serta skop tanggungjawab kerja bagi memastikan tawaran yang dibuat kekal berdaya saing.
“Bagi majikan, pengeluaran julat gaji yang jelas serta keperluan kemahiran membolehkan calon menilai sama ada tawaran berkenaan memenuhi jangkaan mereka.
“Langkah ini membantu mewujudkan ketelusan dan membolehkan syarikat menarik serta mengekalkan bakat yang berkualiti,” katanya.
Dari sudut geografi, data berasingan menunjukkan Kuala Lumpur merekodkan median gaji iklan minima tertinggi sebanyak RM3,500 pada suku kedua 2026, diikuti Sabah (RM2,100) serta gabungan Kelantan, Terengganu dan Pahang (RM2,000).
Beliau menyarankan calon yang mahu berhijrah ke lokasi baharu untuk mempertimbangkan implikasi kos sara hidup seperti penginapan dan pengangkutan berbanding peningkatan pendapatan yang ditawarkan.
Selain itu, pencari kerja disaran untuk mengenal pasti kemahiran tambahan yang diperlukan oleh pasaran bagi meningkatkan kebolehpasaran serta nilai tawar-menawar gaji mereka.
Tambahnya, penawaran gaji yang kompetitif perlu disokong oleh laluan kerjaya yang jelas serta panduan latihan yang mampu mendorong perkembangan profesional pekerja secara berterusan. –UTUSAN











