Model Ekonomi Malaysia pacu kesejahteraan rakyat

Model Ekonomi Malaysia pacu kesejahteraan rakyat

MODEL Ekonomi Malaysia (MEM) perlu memastikan pertumbuhan ekonomi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUMBUHAN ekonomi sering dijadikan ukuran utama kejayaan pembangunan sesebuah negara.

Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kemasukan pelaburan dan prestasi eksport lazimnya dianggap sebagai petunjuk kemajuan.

Namun, persoalan yang lebih mendasar ialah sejauh mana pencapaian tersebut benar-benar meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalan inilah yang menjadi asas kepada gagasan Model Ekonomi Malaysia (MEM) yang diketengahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi ucapan bertajuk SG4 Powering Malaysia’s Next Economic Frontier: Towards a Fair and Thriving Malaysian Economic Model sempena Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026, baru-baru ini.

Dari perspektif ekonomi pembangunan, MEM menawarkan kerangka pemikiran yang wajar diteliti secara serius.

Gagasan ini bukan sekadar membicarakan bagaimana kekayaan negara dapat ditingkatkan tetapi cara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, pengukuhan keupayaan ekonomi dan pembangunan wilayah yang lebih seimbang.

Kekuatan utama gagasan ini terletak dua prinsip fundamental, iaitu keadilan dan keupayaan.

Keadilan merujuk peluang saksama untuk rakyat dan negeri menikmati manfaat pembangunan, manakala keupayaan merangkumi kekuatan ekonomi, keberkesanan institusi, kedudukan fiskal serta kemampuan sesebuah negeri membangunkan potensinya.

Dalam konteks ini, Ahmad Samsuri memperincikan keadilan melalui tiga dimensi utama iaitu keadilan kepada setiap komuniti tanpa mengira latar belakang, keadilan pembangunan antara wilayah serta keadilan antara generasi bagi memastikan kemakmuran hari ini tidak mengorbankan kesejahteraan masa hadapan.

Dalam kerangka pemikiran MEM, kejayaan ekonomi wajar dinilai melangkaui pertumbuhan KDNK semata-mata tetapi turut memberi perhatian kepada peningkatan pendapatan isi rumah, produktiviti, pekerjaan berkualiti, pengagihan manfaat pembangunan dan keseimbangan wilayah.

Pendekatan ini mencerminkan keperluan mengalihkan orientasi pembangunan daripada pertumbuhan berasaskan angka sahaja kepada berteraskan kesejahteraan manusia.

MEM turut memberikan penekanan kepada transformasi struktur ekonomi melalui pembangunan industri bernilai tinggi, teknologi baharu, pengukuhan perusahaan domestik dan pemanfaatan kelebihan ekonomi setiap wilayah.

Malaysia perlu terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai global dengan meningkatkan produktiviti, inovasi, pemindahan teknologi dan keupayaan industri tempatan.

Penekanan Ahmad Samsuri terhadap pembangunan industri bernilai tinggi, pemanfaatan teknologi baharu, peralihan tenaga dan pengukuhan keupayaan industri tempatan memperlihatkan usaha menghubungkan pembangunan ekonomi negara dengan perubahan teknologi serta struktur ekonomi global.

Namun, transformasi industri tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa pembangunan modal insan yang seiring.

Justeru, kerjasama strategik antara universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sektor industri perlu diperkukuh.

Matlamat akhirnya bukan sekadar menarik pelaburan berteknologi tinggi tetapi memastikannya dapat menghasilkan pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.

SG4 PEMANGKIN PERTUMBUHAN NASIONAL

Cadangan membangunkan SG4 yang merangkumi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai koridor ekonomi bersepadu merupakan antara pendekatan praktikal diketengahkan dalam gagasan MEM.

Keempat-empat negeri mempunyai kekuatan ekonomi berbeza tetapi saling melengkapi. Terengganu mempunyai kelebihan dalam petroleum, gas, petrokimia dan industri maritim. Sementara Kedah memiliki ekosistem pembuatan berteknologi tinggi dan semikonduktor, manakala Kelantan serta Perlis menawarkan potensi dalam agroindustri, industri halal, perdagangan sempadan dan tenaga boleh baharu.

Pengintegrasian kekuatan tersebut berpotensi membentuk rantaian bekalan serantau, meningkatkan nilai tambah industri dan mewujudkan pusat pertumbuhan ekonomi baharu.

Lebih penting, pembangunan SG4 tidak seharusnya dilihat sebagai agenda empat negeri semata-mata tetapi sebagai sebahagian daripada strategi memperluas asas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Cadangan meneroka pembangunan Hab Kewangan Islam SG4 turut memperkenalkan dimensi pembiayaan pembangunan yang penting.

Melalui sukuk, pembiayaan hijau, dana pelaburan patuh syariah dan teknologi kewangan Islam, modal berpotensi digerakkan untuk membiayai industri strategik, infrastruktur dan perusahaan tempatan.

Dalam konteks ini, kewangan Islam perlu berfungsi bukan sekadar sebagai sektor perkhidmatan kewangan tetapi instrumen pembangunan ekonomi produktif.

Satu lagi dimensi penting ialah hubungan dengan pembaharuan federalisme ekonomi.

Cadangan Formula Penyamaan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang dibangkitkan membuka ruang pendekatan pengagihan sumber negara yang lebih telus, konsisten dan mengambil kira keperluan pembangunan wilayah. Namun, keadilan pembangunan tidak boleh bergantung kepada jumlah peruntukan semata-mata.

Negeri juga perlu diperkasakan untuk membangunkan sumber ekonomi, menarik pelaburan, membina industri dan menjana pendapatan secara mampan.

Pendekatan ini berpotensi membentuk hubungan Persekutuan–Negeri yang lebih matang, berasaskan kerjasama, keadilan pengagihan dan pengukuhan keupayaan ekonomi bersama.

Secara keseluruhannya, MEM yang diketengahkan mengemukakan kerangka pemikiran mengenai hala tuju pembangunan ekonomi negara.

Gagasan ini menghubungkan pertumbuhan ekonomi dengan keadilan pengagihan, pengukuhan keupayaan negeri, transformasi industri dan kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, kekuatan sebenar MEM perlu dibuktikan melalui pelaksanaan. Kerangka dasar yang terperinci, pembaharuan institusi, strategi pembiayaan dan indikator prestasi yang jelas amat penting bagi memastikan gagasan tersebut menghasilkan perubahan ekonomi yang nyata.

Dalam konteks landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekiranya sebuah kerajaan baharu diberikan mandat, Insya-Allah gagasan MEM boleh dipertimbangkan sebagai antara asas penting dalam merangka hala tuju ekonomi nasional, tertakluk kepada penelitian dasar, kemampuan pelaksanaan dan keutamaan kerajaan yang dibentuk.

Perkara yang lebih utama ialah memastikan mana-mana kerajaan yang melaksanakan model ini mempunyai keupayaan institusi, disiplin fiskal dan kesungguhan untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan kepada hasil yang boleh diukur.

Inilah aspirasi yang perlu diterjemahkan daripada gagasan kepada dasar dan daripada dasar kepada kesejahteraan sebenar rakyat. –UTUSAN

 

Profesor Datuk Dr. Azali Mohamed ialah Felo Penasihat Kanan (Ekonomi dan Perniagaan) The Future Research (FUTURE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini