MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China - Utusan Malaysia

MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China

NIQMAN Rafaee Mohd Sahar (tengah), menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Eksekutif VFive Media Ads, TS Amir Junaidi (dua dari kanan), di Pejabat Matrade di Beijing, China.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia digalakkan meneroka peluang kerjasama dalam sektor teknologi bernilai tinggi di China, khususnya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau, selaras dengan keutamaan pembangunan negara itu bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menteri Kaunselor (Perdagangan) Kedutaan Besar Malaysia di Beijing merangkap Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Niqman Rafaee M. Sahar berkata, peluang berkenaan merangkumi penyumberan strategik, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi bagi menyokong peningkatan keupayaan industri Malaysia.

Katanya, Rancangan Lima Tahun Ke-15 China membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keutamaan itu turut meliputi penggunaan teknologi dalam sektor industri dan peningkatan produktiviti melalui pendigitalan, di samping peralihan kepada pembangunan hijau,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd, Ts. Amir Junaidi Amerrudin, di pejabat MATRADE di Beijing, hari ini.

Beliau berkata, MATRADE terus membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran China melalui promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembangunan hubungan perdagangan serta khidmat nasihat mengenai keperluan dan pematuhan eksport.

“Sokongan ini membolehkan syarikat mengenal pasti rakan niaga berpotensi, memahami kehendak pasaran serta memperluas akses kepada pembeli dan rangkaian pengedaran di negara berkenaan.

“Kita turut menggalakkan syarikat Malaysia meneroka bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di China, selain pasaran utama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.

“Langkah ini berpotensi mempelbagaikan pasaran eksport serta membuka peluang perniagaan dalam sektor industri dan teknologi yang sedang berkembang,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group, Datuk Syafiq Abdullah berkata, syarikat berkenaan sedang meneroka kerjasama dengan pemain teknologi China dalam bidang perubatan digital, sistem AI, jentera pertanian pintar dan teknologi pembinaan moden.

Katanya, penerokaan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian teknologi yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan industri di Malaysia, dengan mengambil kira kos pelaksanaan serta kesesuaian operasi tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini