Beza pandangan antara kementerian bukan tanda perpecahan - PM - Utusan Malaysia

Beza pandangan antara kementerian bukan tanda perpecahan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan, sebaliknya sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing dalam memastikan agenda Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan juga mengambil kira keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai mengapa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) boleh mengeluarkan pendirian yang bercanggah secara terbuka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya bagi memastikan tadbir urus yang berkesan.

“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini