KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memaksimumkan sumber aslinya sendiri bagi memperkukuh keselamatan tenaga dan melindungi kepentingan negara dalam jangka panjang, kata pemain industri maritim.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri R Jeyenderan berkata, keputusan Indonesia mengurangkan eksport gas asli ke Singapura menjadi peringatan bahawa setiap negara perlu memastikan sumber dan infrastruktur tenaganya mampu memenuhi keperluan domestik.
“Indonesia secara berkesan sedang menyampaikan mesej supaya jangan mengambil kesempatan terhadapnya.
“Sebelum mempersoalkan tindakan Indonesia, lihat dahulu pengendali di negara sendiri dan teliti apa yang telah mereka peroleh daripada Indonesia selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura pada 24 Okt dengan mengalihkan sebahagian bekalan dari Natuna dan Sumatera bagi memenuhi keperluan dalam negara.
Jakarta dilaporkan menegaskan pengurangan itu masih dalam lingkungan jumlah minimum yang ditetapkan dalam kontrak pembekalan.
Jeyenderan berkata, perkembangan itu menunjukkan keselamatan tenaga berkait rapat dengan hubungan antara negara, terutama apabila bekalan komoditi strategik bergantung kepada sumber rentas sempadan.
“Malaysia perlu mengambil iktibar dengan memberi lebih perhatian kepada pembangunan sumber tempatan, memperkukuh keupayaan tenaga domestik dan memastikan infrastrukturnya menyokong kepentingan negara dalam jangka panjang.
“Malaysia juga perlu memanfaatkan kedudukannya di laluan perkapalan antarabangsa dengan mengembangkan industri pembekalan bahan api kapal atau bunkering,” katanya.
Jeyenderan turut merujuk usaha Singapura mempelbagaikan sumber tenaganya, termasuk melalui import gas asli cecair (LNG) dan kerjasama strategik dengan pengeluar utama dunia.
Katanya, rancangan menyimpan minyak mentah Saudi di Jurong Rock Caverns mulai separuh kedua 2027 menunjukkan Singapura memberi perhatian kepada keselamatan bekalan jangka panjang.
“Mengapa Aramco memilih Singapura? Ini kerana Singapura memahami bahawa keselamatan tenaga bukan sekadar membeli minyak atau gas pada hari ini. Ia melibatkan usaha memastikan bekalan, kemudahan penyimpanan, logistik dan hubungan strategik untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada perkembangan itu memandangkan Saudi Aramco merupakan rakan strategik negara menerusi pelaburan hilirannya bersama Petronas di Pengerang, Johor.
Jeyenderan berkata kerjasama antarabangsa kekal penting, namun Malaysia pada masa sama perlu memastikan sumber domestik, infrastruktur dan strategi tenaga jangka panjangnya selaras dengan kepentingan negara.
“Apa yang berlaku antara Indonesia dengan Singapura merupakan peringatan kepada semua negara di rantau ini.
“Keselamatan tenaga melibatkan hubungan, infrastruktur dan keupayaan mengetahui pihak yang boleh diharapkan apabila bekalan menjadi terhad. Malaysia perlu memelihara hubungan itu sebelum krisis berlaku,” katanya.-UTUSAN











