Russia yakin pasaran pelancongan Malaysia

Russia yakin pasaran pelancongan Malaysia

TIONG King Sing sewaktu menghadiri pertemuan bersama penggiat industri pelancongan dan penerbangan Russia yang menyatakan minat untuk meningkatkan hubungan penerbangan serta membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali pelancongan Russia menyatakan kesediaan untuk menempah sehingga 60 peratus tempat duduk penerbangan ke Malaysia, sekali gus mencerminkan potensi pertumbuhan pasaran pelancongan antara kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, syarikat penerbangan Russia turut meneroka beberapa pilihan untuk meningkatkan hubungan penerbangan ke Malaysia, termasuk penerbangan terus, penerbangan sewa khas dan sambungan melalui China.

Perkembangan itu merupakan antara maklum balas positif yang diterima Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, hasil siri pertemuan bersama penggiat utama industri pelancongan dan penerbangan Russia sepanjang misi promosi pelancongan ke negara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang lawatan ke St. Petersburg dan Moscow baru-baru ini, beliau mengadakan perbincangan dengan Ural Tourism Association, Fun & Sun Holidays, Space Travel, Russian Express, Ostrovok, Piter Tours, PAKS Group, PAC Group dan ITM Group serta syarikat penerbangan Russia, Red Wings dan Aeroflot.

Antara maklum balas utama yang diterima ialah daripada PAKS, pengendali pelancongan Russia yang sudah beroperasi 35 tahun.

Syarikat itu berpandangan ketiadaan penerbangan terus merupakan halangan utama kepada usaha mengembangkan pasaran pelancongan Malaysia.

Sekiranya terdapat laluan penerbangan Russia-Malaysia yang berdaya maju dari segi komersial, PAKS sedia mempertimbangkan tempahan secara berkumpulan melibatkan kira-kira 30 hingga 60 peratus daripada keseluruhan tempat duduk penerbangan untuk dijual bersama pakej pelancongan.

Bagaimanapun, penggiat industri menegaskan harga tiket kekal sebagai faktor paling penting dalam menentukan kejayaan sesuatu laluan penerbangan.

Ketika ini, purata harga tiket penerbangan transit melalui Timur Tengah adalah sekitar AS$1,650.

Sekiranya harga tiket penerbangan terus mencecah AS$1,600 hingga AS$1,700, penerbangan itu dikhuatiri sukar mendapat sambutan pasaran.

Sementara itu, Red Wings sedang meneliti potensi membuka laluan penerbangan Moscow-Langkawi.

Langkah itu dilihat selari minat pelancong Russia untuk meneroka destinasi baharu, namun beberapa cabaran masih perlu ditangani termasuk kapasiti pesawat, harga tiket dan kemampuan pengendali pelancongan memasarkan pakej berkenaan.

Pelancong tinggal lebih lama ketika musim sejuk

Selain penerbangan, penggiat industri Russia turut mengenal pasti potensi pasaran pelancong yang ingin menghabiskan musim sejuk di negara beriklim panas.

Menurut mereka, sebahagian pelancong Russia yang mempunyai kedudukan kewangan stabil lazimnya memilih destinasi di Asia untuk mengelakkan cuaca sejuk melampau di negara asal.

Golongan ini juga cenderung untuk tinggal lebih lama, iaitu antara tiga hingga empat bulan, dan ia tidak terhad kepada golongan pesara semata-mata.

Sehubungan itu, Malaysia berpotensi membangunkan pakej penginapan jangka panjang yang menggabungkan kemudahan tempat tinggal, percutian dan sambungan penerbangan yang lebih mudah.

Pelancongan premium, konsert dan ekopelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, permintaan bagi produk pelancongan premium di Russia juga semakin pelbagai.

Selain percutian pulau yang menjadi tarikan tradisional, penggiat industri melihat potensi dalam segmen pelayaran kapal persiaran, pelancongan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), golf, acara muzik, pendidikan keluarga, pelancongan mampan serta pengembaraan ekologi.

Malah, pasaran Russia dan Asia Tengah dilaporkan telah menjual kira-kira 100 pakej pelancongan ke Malaysia untuk menghadiri konsert pada tahun ini.

Pada masa sama, penggiat industri Russia memaklumkan pengetahuan pengguna tempatan mengenai destinasi pelancongan Malaysia masih belum menyeluruh.

Kebanyakan pelancong lebih mengenali Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.

Sementara itu, tarikan pelancongan di Melaka, Perak, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak masih kurang mendapat pendedahan dalam pasaran Russia.

Keadaan itu menunjukkan bahawa cabaran Malaysia bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan permintaan, sebaliknya banyak produk dan destinasi tempatan masih belum diperkenalkan secara meluas kepada pengguna Russia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini