Wang tunai, tiga komputer riba hilang kes pecah masuk sekolah - Utusan Malaysia

Wang tunai, tiga komputer riba hilang kes pecah masuk sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Wang tunai RM5,700 dan tiga komputer riba antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah masuk bilik kaunseling di sebuah sekolah menengah di Taman Orkid, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, kejadian itu disedari seorang guru wanita sekitar pukul 7.50 pagi setelah mendapati bilik kaunseling tersebut dalam keadaan berselerak.

Katanya, guru berusia 47 tahun itu kemudian memanggil rakannya untuk melihat keadaan bilik berkenaan sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pengetua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara barang yang dilaporkan hilang ialah tiga komputer riba, wang tabung guru dan murid berjumlah RM3,000, wang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sebanyak RM2,000, wang kebajikan murid berjumlah RM700 dan sebuah pemacu keras luaran bernilai RM250.

“Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM11,950 namun kehilangan barangan lain masih belum dapat dipastikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati pintu masuk bilik berkenaan dan pintu almari yang menyimpan barangan berharga dipercayai telah diumpil.

Katanya, semakan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu memakai topeng, topi dan sarung tangan berada di lokasi ketika kejadian pecah masuk dipercayai berlaku.

“Siasatan awal mendapati bilik berkenaan kali terakhir dikunjungi pengadu pada 24 Oktober lalu kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum ditinggalkan dalam keadaan berkunci.

“Pemeriksaan cap jari di tempat kejadian pula mendapati satu cap jari ditemukan pada pintu masuk bilik berkenaan manakala tiada cap jari ditemukan di dalam bilik kaunseling itu,” katanya.

Beliau berkata, rakaman percakapan telah dijalankan terhadap pengawal keselamatan sekolah dan dia memaklumkan tidak menyedari sebarang perkara mencurigakan ketika kejadian dipercayai berlaku.

Katanya, lokasi bilik kaunseling yang terletak kira-kira 150 meter dari pondok pengawal keselamatan itu agak terlindung daripada pandangan kerana terdapat tembok tinggi di bahagian hadapan bangunan berkenaan.

“Laluan untuk ke tempat kejadian hanya mempunyai satu akses sahaja dan laluan itu juga dikunci pada waktu malam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini