TELUK INTAN: Penduduk Kampung Bahagia menarik nafas lega apabila kerja-kerja membersihkan dan mendalamkan parit serta anak sungai di kawasan itu giat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir menjelang musim tengkujuh.
Usaha berkenaan diharap dapat mengatasi masalah limpahan air yang sering menyebabkan rumah penduduk dinaiki air ketika hujan lebat.
Penduduk, Roslan Abu Bakar, 66, berkata kerja-kerja pembersihan dan pendalaman saliran itu dilaksanakan sejak beberapa hari lalu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Biasanya, air dari parit, longkang dan sungai akan melimpah ketika hujan lebat, menyebabkan rumah berhampiran dinaiki air.
“Usaha ini memberi kelegaan kepada penduduk yang bimbang banjir berulang dan berharap kerugian dapat dielakkan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Ismail, berkata rumahnya sering dinaiki air berikutan kedudukan tanah kampung yang rendah.
Katanya, air yang memasuki rumah juga mengambil masa untuk surut, malah pernah menyebabkan beberapa peralatan rumah rosak.
Beliau berharap kerja-kerja berkenaan dapat mengurangkan risiko banjir dan melindungi penduduk daripada kerugian berulang. – UTUSAN











