Rakyat Malaysia nikah guna sindiket berisiko terlibat zina

Rakyat Malaysia nikah guna sindiket berisiko terlibat zina

AHMAD Kamil Wan Jusuh (tengah) dan Abdul Basid Che Mat bertemu Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi (kanan) di Songkhla, Thailand semalam. – UTUSAN/RAZALI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA (THAILAND): Pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand menggunakan khidmat sindiket haram, berisiko terjerumus melakukan zina sekiranya pernikahan dilakukan oleh kadi atau jurunikah tidak bertauliah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Abdul Basid Che Mat berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket berdepan risiko diperdaya dengan sijil nikah palsu sehingga menyangka perkahwinan mereka sah sedangkan akad nikah berkenaan tidak memenuhi ketetapan hukum Islam.

“Menurut peraturan dan hukum, jika pernikahan tidak dilakukan oleh jurunikah bertauliah, pernikahan itu tidak sah. Sindiket itu juga mungkin mengeluarkan sijil nikah tetapi ia adalah palsu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa sahaja perbuatan selepas akad nikah yang tidak sah, hukumnya adalah haram. Jika mengadakan hubungan seks, perbuatan itu adalah zina,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mesyuarat bersama pegawai Konsulat Malaysia di sini, semalam.

Mesyuarat hampir dua jam itu dipengerusikan Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand.

Abdul Basid berkata, lima majlis agama Islam berkenaan mempunyai kadi atau jurunikah bertauliah yang dibenarkan menikahkan pasangan termasuk rakyat Malaysia.

Katanya, urusan pernikahan hanya dijalankan di pejabat cawangan majlis agama Islam peringkat daerah atau pejabat pusat majlis agama Islam wilayah, bukannya di lokasi lain yang tidak ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Dr. Ahmad Kamil Wan Jusuh mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pernikahan dalam media sosial yang menjanjikan proses lebih mudah.

Beliau berkata, terdapat syarat ketat yang perlu dipatuhi bagi memastikan pernikahan itu sah termasuk kewajipan pasangan rakyat Malaysia membuktikan mereka memasuki Thailand melalui saluran dan menggunakan dokumen yang sah.

“Lima majlis agama Islam di Selatan Thailand bersama Majlis Islam Pusat Thailand turut mempunyai perjanjian persefahaman dengan pihak berkuasa agama di negeri-negeri Malaysia, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelaraskan isu berkaitan pernikahan,” ujarnya.

Ahmad Kamil berkata, pihaknya menyedari terdapat individu tertentu dari Thailand yang menikahkan pasangan rakyat Malaysia di negeri-negeri bersempadan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, katanya, lima majlis agama Islam di Selatan Thailand tidak menikahkan pasangan rakyat Malaysia yang memasuki negara itu secara haram.

Difahamkan, sindiket terbabit menawarkan Pakej Pernikahan Selatan Thailand dua hari satu malam melalui media sosial termasuk Facebook dengan harga antara antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu pasangan meliputi pengangkutan, penginapan dan makan.

Bagaimanapun, kos berkenaan bergantung kepada jarak tempat tinggal pasangan berkenaan dengan wilayah Selatan Thai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini