Pendakwaan serah 10 dokumen kes bekas CEO FIC

Pendakwaan serah 10 dokumen kes bekas CEO FIC

MOHD. Zaid Abdul Jalil yang didakwa atas pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi projek pembangunan komersial dan penilaian harga pasaran 24 tanah milik Felda ketika hadir bagi sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Minit mesyuarat antara 10 dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan bagi kes melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).

Dokumen itu sebagai persediaan perbicaraan selepas tertuduh, Mohd. Zaid Abdul Jalil, 55, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkait laporan penilaian harga pasaran (market value) 24 lot tanah milik Felda di Jalan Semarak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi dalam prosiding sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan baki dokumen,” katanya.

Peguam bela, Datuk Yaacob Md. Sam yang mewakili Mohd. Zaid mengesahkan perkara tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Zaid sebagai CEO FIC didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Developer.

Ia pelantikan bagi projek ‘The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur’ sedangkan dia mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner-Master Planner.

Bagi pertuduhan kedua, dia dengan jawatan sama didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah sama berhubung laporan penilaian harga pasaran (market value) 24 lot tanah milik Felda di Jalan Semarak.

Mohd. Zaid didakwa memaklumkan penilaian oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn. Bhd. adalah berjumlah RM330.96 juta sedangkan jumlah sebenar yang dilaporkan adalah RM691.7 juta.

Tertuduh turut memperdaya Lembaga Pengarah dengan menyatakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberi anggaran nilai berharga RM180 juta ke atas lot-lot tanah berkenaan, sedangkan JPPH tidak pernah memberikan nilai indikatif tersebut kepada FIC.

Tindakan itu mendorong Lembaga Pengarah sama menerima tawaran daripada Synergy Promenade Sdn. Bhd. bagi cadangan Minimum Guaranteed Return bernilai RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini