PKR bertanding 10 kerusi, tambahan DUN Ayer Limau

PKR bertanding 10 kerusi, tambahan DUN Ayer Limau

FUZIAH Saleh (dua dari kiri) sewaktu sidang akhbar khas sempena pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali Tahun 2026, hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah satu lagi kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, menjadikan keseluruhannya 10 kerusi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Saleh berkata, Mej. (B) Jaimi Dimon dipilih sebagai calon di Ayer Limau, sekali gus melengkapkan senarai calon parti itu di 10 kerusi berbanding sembilan yang diumumkan sebelum ini.

“Untuk calon-calon Keadilan, kita semalam telah pun menyerahkan watikah dan kita ada menambah lagi satu kerusi bertanding.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa pengumuman calon, sembilan kerusi, tetapi pada hari ini kita sudah menambah satu lagi dan ada 10 kerusi yang akan ditandingi oleh Keadilan. Tambahan itu ialah DUN Ayer Limau,” katanya ditemui selepas sidang akhbar khas sempena pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali Tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, penambahan kerusi Ayer Limau menjadikan jumlah kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) sebanyak 22, melainkan terdapat penambahan lain oleh parti-parti komponen.

“Pada hari itu kita tidak habiskan, tetapi oleh kerana Keadilan merasakan kita boleh menambah lagi satu kerusi, kita telah menjadikannya 10 kerusi,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pilihan raya, Fuziah berkata, pihaknya telah meninjau semua bilik gerakan utama di setiap DUN yang ditandingi PKR.

Katanya, beliau berpuas hati dengan persiapan melibatkan jentera, daerah mengundi, bilik gerakan, data dan logistik.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan semua persiapan mereka, dari segi jentera, daerah mengundi, bilik gerakan, data dan logistik.

“Pada hari ini mereka bersedia untuk berhadapan dengan hari penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, sambutan Deepavali diawalkan sebelum hari penamaan calon kerana program berkenaan mungkin melibatkan pemberian sumbangan.

Katanya, selepas penamaan calon pada 31 Oktober, tiada lagi sumbangan atau pemberian boleh diberikan kepada pengundi kerana perkara itu melanggar akta pilihan raya.

“Oleh kerana Deepavali sudah dekat, kita mengawalkan sambutan Deepavali sebab mungkin pada sambutan itu ada sumbangan diberikan. Jadi, kita mengawalkannya sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Sebelum ini, PH mengumumkan 21 calon bagi menghadapi PRN Melaka ke-16, dengan PKR bertanding di sembilan kerusi, DAP (tujuh kerusi) dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.

Pengumuman pada 24 Oktober lalu itu dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan senarai calon diketuai Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini