JOHOR BAHRU: Perkhidmatan beca yang didakwa beroperasi di pusat bandar raya ini telah diarah berhenti serta merta oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) susulan ketiadaan lesen operasi atau permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, sehingga kini, pengendali perkhidmatan itu tidak membuat sebarang permohonan rasmi kepada pihaknya.
“Kami belum menerima permohonan daripada mereka walaupun pengendali telah mula melaksanakan perkhidmatan itu sebagai ujian rintis mereka.
“Sehubungan itu, MBJB telah mengarahkan perkhidmatan itu dihentikan operasi dan diminta mengemukakan permohonan terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu video menawarkan perkhidmatan beca yang mengelilingi kawasan tertentu di pusat bandar raya Johor Bahru dan dikendalikan oleh individu dipercayai warga asing.
Video berkenaan turut mendakwa perkhidmatan itu disediakan dengan bayaran tambang RM60.
Tambah Mohd. Haffiz, MBJB maklum perkhidmatan beca mampu menambah daya tarikan pelancongan di Johor Bahru, sebagaimana perkhidmatan sama turut beroperasi di Melaka dan Pulau Pinang.
“Namun begitu, cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu termasuklah kadar tambang yang akan dikenakan kepada penumpang serta penampilan beca-beca berkenaan.
“Beca terlibat perlulah dihias menarik dan kemas untuk menarik pengunjung. Selain reka bentuk yang unik, ia juga boleh dilengkapi dengan muzik dan lampu hiasan,” katanya.
Beliau turut memberitahu, sekiranya perkhidmatan sedemikian dibenarkan, adalah wajar perkhidmatan tersebut dilakukan warga tempatan yang lebih memahami budaya dan selok belok setempat.
“Warga tempatan khususnya rakyat Johor sendiri wajar diberikan peluang menjadi penarik beca. Ini bagi membolehkan mereka berkongsi tempat menarik dan sejarah setempat, selain turut mempromosikan lokasi menarik lain di seluruh negeri ini,” katanya.-UTUSAN











