FELCRA agih keuntungan RM190.6 juta, meningkat 50.2 peratus

FELCRA agih keuntungan RM190.6 juta, meningkat 50.2 peratus

AHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama penerima keuntungan boleh agih pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad, di MITC, Ayer Keroh hari ini.- UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Felcra Berhad mengumumkan agihan keuntungan boleh agih Interim 2/2026 berjumlah RM190.6 juta kepada hampir 72,000 peserta di seluruh negara, meningkat RM63.7 juta atau 50.2 peratus berbanding agihan Interim 1 yang diumumkan pada Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan tersebut bagi tempoh Mei hingga Ogos tahun ini membabitkan 734 projek peserta Felcra di seluruh negara.

Menurutnya, semua pembayaran kepada peserta yang layak dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan penuh kesyukuran, saya mengumumkan bahawa jumlah keuntungan boleh agih Interim 2 Tahun 2026 bagi projek-projek peserta Felcra Berhad di seluruh Malaysia ialah sebanyak RM190.6 juta.

“Peningkatan agihan itu mencerminkan hasil usaha bersama peserta dan warga Felcra dalam memastikan tanah yang dibangunkan terus memberikan pulangan kepada pemiliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Felcra Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid berkata, usaha meningkatkan pendapatan peserta tidak boleh bergantung semata-mata kepada kenaikan harga komoditi, sebaliknya perlu disokong pengurusan ladang yang cekap, peningkatan produktiviti dan kawalan kos operasi.

Katanya, faktor seperti kelewatan menuai hasil, buah yang tidak dikutip serta pembajaan tidak mengikut jadual boleh menjejaskan pendapatan peserta sekiranya disiplin operasi di setiap projek tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Justeru, beliau mahu Felcra mengenal pasti punca projek yang mencatatkan pulangan rendah dan menyediakan pelan penambahbaikan berserta sasaran yang jelas.

“Projek yang berdepan masalah pokok berusia memerlukan perancangan penanaman semula, sementara kelemahan operasi mesti diperbetulkan segera dan secara menyeluruh,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pengurusan projek dengan memastikan peserta diberikan penerangan yang mudah difahami mengenai prestasi pengeluaran, kos pengurusan dan asas pengiraan agihan keuntungan.
Menurutnya, kefahaman terhadap prestasi projek membolehkan peserta merancang kewangan dengan lebih baik, selain meningkatkan keyakinan mereka terhadap pengurusan Felcra.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Felcra perlu memperluas peluang ekonomi kepada keluarga peserta dengan mengenal pasti ruang perniagaan yang boleh diceburi mereka, termasuk dalam bidang penyelenggaraan jentera, pengangkutan, pembekalan dan pemasaran hasil pertanian.

Katanya, pembangunan ekonomi keluarga peserta juga perlu disokong dengan pendidikan dan latihan kemahiran bagi memastikan generasi muda mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan serta peluang keusahawanan.

Beliau berkata, usaha itu boleh diperkukuh melalui kerjasama antara Kolej FELCRA, institusi latihan dan pemain industri, termasuk menerusi program Diploma Pengurusan Industri Perladangan yang ditawarkan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini