KUALA LUMPUR: Seramai 691 guru memerlukan intervensi segera berkaitan kesejahteraan psikologi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu dikenal pasti selepas saringan melibatkan 82,126 guru di seluruh negara dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, hasil daripada itu mendapati majoriti guru mempunyai tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun kementerian tetap menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Kementerian melaksanakan pendekatan intervensi menyeluruh yang merangkumi aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan melalui perkhidmatan psikologi serta kaunseling bagi membantu guru yang berdepan cabaran.
“Antara perkhidmatan disediakan ialah kaunseling individu dan kelompok, penilaian psikologi, bimbingan dan konsultasi, selain program pengurusan stres serta sokongan emosi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai jumlah guru yang mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental, selain langkah intervensi serta sokongan disediakan kementerian bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya.
Fadhlina berkata, proses intervensi dimulakan dengan saringan bagi mengenal pasti keperluan setiap individu sebelum intervensi psikologi dan kaunseling bersesuaian diberikan.
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan warga pendidik, beliau berkata, KPM turut memperuntukkan RM200 juta bagi menaik taraf bilik guru, termasuk tambahan peruntukan baharu sebanyak RM100 juta. – UTUSAN











