Dua warga emas tak mengaku seret anjing guna motosikal - Utusan Malaysia

Dua warga emas tak mengaku seret anjing guna motosikal

LEE Beng Hooi (dua dari kiri) dan rakannya Yeoh Keat Chye (dua dari kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang selepas didakwa atas pertuduhan menyeret seekor anjing dengan menaiki motosikal, bulan lepas.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua lelaki warga emas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengikat dan menyeret seekor anjing dengan menaiki motosikal, bulan lepas.

Tertuduh, Lee Beng Hooi dan Yeoh Keat Chye, kedua-duanya berusia 62 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa telah menyeret seekor anjing betina berwarna hitam yang diikat dengan seutas rantai besi di atas permukaan jalan menggunakan motosikal jenis Honda EX5 hingga menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan yang tidak sepatutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong belakang deretan rumah teres di Jalan Hijau Empat hingga ke sebelah rumah No. 367A, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di sini, antara pukul 6.26 hingga 6.30 petang pada 23 September lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Noorfaiz Fikri Nor Azmi dan Azhar Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk prosiding seterusnya selepas meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sementara itu, Azhar ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah selepas prosiding selesai berkata, anjing yang diberi nama ‘Blacky’ itu kini sedang menerima rawatan selepas mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki dan masih berada di bawah jagaan JPVPP.

Terdahulu, media pada 24 September lalu melaporkan mengenai penularan satu rakaman video berdurasi hampir satu minit di laman sosial yang menunjukkan dua lelaki sedang mengheret seekor anjing yang diikat pada motosikal sehingga mengundang kecaman warganet.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini