Kebebasan bersuara jangan cabar kedaulatan negara

Kebebasan bersuara jangan cabar kedaulatan negara

KEBEBASAN bersuara mesti diamalkan dengan bertanggungjawab tanpa mencemarkan maruah Jalur Gemilang atau menjejaskan kedaulatan dan perpaduan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KETIKA warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib ‘benang habis, kain tak jadi, jarum patah, baju tak siap…

“Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tindakan sekumpulan individu yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik dalam demonstrasi di Melbourne oleh gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) bukan sahaja menyentuh sensitiviti nasional, malah mencetuskan perbincangan kritikal mengenai batas kebebasan bersuara. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai rakyat yang cintakan kedaulatan Malaysia, isu ini wajar dilihat sebagai serangan terus kepada prinsip pasak negara serta peruntukan undang-undang yang ada. 

Amat dikesali bagaimana provokasi melampau sebegini terus berlaku tanpa natijah dan nokhtah.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara, namun ia tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada ketenteraman awam serta keselamatan negara. Bahkan kebebasan ini tidak boleh melangkaui takzim dan kasih yang perlu dipersembahkan sebagai pelindung kedaulatan negara. 

Biar apapun sekali sentimen ketidakpuasan dalam kalangan rakyat, tidak wajar sentimen ini menandingi kedaulatan Malaysia.

Lambang kedaulatan seperti Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain tetapi manifestasi maruah, perpaduan dan pengorbanan seluruh rakyat Malaysia merentasi sempadan wilayah. 

Tindakan memperlekeh atau menterbalikkan bendera rasmi di pentas antarabangsa adalah pengkhianatan yang amat biadap terhadap nilai-nilai asas ini, sekali gus mencemarkan nama baik rakyat Malaysia di mata dunia.

Dari sudut perundangan, tindakan provokatif sebegini boleh berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa. 

Sebagai contoh, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan jelas memperuntukkan hukuman bagi kesalahan membangkitkan pecah keamanan. 

Perbuatan menghina lambang negara secara terbuka demi agenda politik sempit mempunyai implikasi undang-undang yang serius dan pihak berkuasa wajar mengambil langkah siasatan serta perundangan yang tegas terhadap dalang yang terlibat demi mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Tidak dinafikan sebahagian besar gerakan ini didorong rasa tidak puas hati terhadap pembangunan wilayah yang dilihat tidak inklusif. Namun, pendekatan radikal di luar negara adalah satu langkah ke belakang.

 

RUNDINGAN SAH PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA

Hari ini, landskap politik telah jauh berubah. Di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak-hak Sabah dan Sarawak kini dibawa ke meja rundingan rasmi dan dibahaskan secara terbuka, dengan pelbagai kemajuan serta peruntukan khusus direalisasikan oleh kerajaan pusat. 

Ini membuktikan saluran diplomasi, rundingan meja bulat, dan proses perundangan yang sah adalah landasan terbaik untuk menuntut hak tanpa perlu merosakkan imej negara.

Bahkan, awal minggu ini Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata negeri itu bertuah kerana menikmati kestabilan politik, sekali gus membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara terancang dengan hala tuju yang jelas.

Selama 63 tahun sejak pembentukan Malaysia, kerjasama antara wilayah menjadi asas kepada pembangunan negara. Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai negara yang mempunyai ekonomi stabil di rantau ini, malah turut dikenali di persada antarabangsa sebagai negara majmuk yang aman dan harmoni, sekali gus menarik minat pelabur asing serta pelancong dari seluruh dunia.

Bukankah ini hasil jalinan kerjasama, perpaduan dan muhibbah yang dibina sekian lama?

Dalam membina sebuah negara-bangsa yang berdaulat dan majmuk, prinsip pasak negara menjadi benteng pertahanan utama keselamatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara. 

Kita sudah melihat jelas bagaimana demonstrasi kecil di Paris dan Perancis mampu melumpuhkan negara itu sehingga meranapkan banyak peninggalan bersejarah negara. 

Bukankah kita harus mengambil iktibar daripada keangkuhan mereka? Tindakan bebal segelintir rakyat Sabah dan Sarawak, yang enggan mengakui peranan Persekutuan Malaysia dalam menjamin kelestarian wilayah mereka, wajar disekat dan dibasmi kerana berkemampunan memberi kesan buruk yang meranapkan sejarah negara.

Apakah tujuan tuntutan dan desakan dangkal ini dilaungkan di Parlimen Victoria bagi menuntut pemisahan antara Sabah dan Sarawak dari Malaysia? Tidakkah selama ini Semenanjung, Sabah dan Sarawakbersatu dalam mengharungi badai dunia? 

Jika kita telesuri amarah dan asas tuntutan mereka, pada akhirnya tiada lain kecuali permainan politik yang mendalangi kebiadapan sebegini. Walhal di mata rakyat marhaen yang saban hari mensyukuri nikmat keamanan dan kemajuan negara ini, permainan politik sebegini tidak akan mampu mengalas perut rakyat yang memerlukan.

Malaysia bukan hanya dibina atas tujuan kestabilan politik dan ekonomi semata-mata. Malah, kemampanan negara ini terletak pada kekuatan perpaduan rakyat yang sanggup mengangkat satu jati diri yang sama. 

Biarpun dari mana asal usul kita, di mata dunia seorang warga negara Malaysia tetaplah dikenali sebagai bangsa yang makmur, beradab sopan dan tinggi pekerti mereka.

Semangat perpaduan dan kebersamaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pencapaian yang dikecapi ketika ini dapat dipertahankan serta diwariskan dalam keadaan lebih baik kepada generasi akan datang. -UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini