PENGUMUMAN kerajaan untuk memperluas perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan pastinya memberi sedikit kelegaan kepada isi rumah, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang menyebabkan penggunaan elektrik meningkat.
Perlindungan yang sebelum ini diberikan pada paras 600 kWj kini diperluas bagi penggunaan elektrik mulai September hingga Disember 2026.
Langkah tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pengguna untuk mengurus perbelanjaan isi rumah, malah membuka satu persoalan yang tidak kurang penting, iaitu sejauh mana pengguna memainkan peranan dalam mengurus penggunaan elektrik di rumah.
Apabila kos penggunaan mendapat sedikit perlindungan, pengguna mungkin lebih memberi perhatian kepada jumlah bayaran pada bil.
Namun, perkara yang lebih penting ialah memahami corak penggunaan itu sendiri. Perlindungan yang diberikan tidak seharusnya dilihat sebagai alasan untuk menggunakan elektrik secara berlebihan, sebaliknya sebagai ruang untuk isi rumah mengurus keperluan harian dengan lebih baik.
Sebahagian penggunaan elektrik berlaku tanpa disedari. Lampu yang terus menyala walaupun bilik tidak digunakan, televisyen yang dibiarkan terpasang atau peralatan elektrik yang berada dalam keadaan siap sedia mungkin kelihatan seperti perkara kecil. Namun, apabila kebiasaan itu berlaku setiap hari dan melibatkan pelbagai peralatan, penggunaannya akhirnya boleh terkumpul.
Keadaan cuaca juga tidak boleh diketepikan. Dalam keadaan panas, penggunaan kipas dan penghawa dingin sememangnya meningkat kerana berkait rapat dengan keselesaan dan keperluan harian.
Pengguna tidak seharusnya berasa penggunaan peralatan tersebut merupakan sesuatu yang perlu dielakkan sepenuhnya. Yang lebih penting ialah bagaimana dan bila ia digunakan.
Di sinilah letaknya peranan pengguna. Banyak perkara yang mempengaruhi penggunaan tenaga mungkin berada di luar kawalan tetapi cara elektrik digunakan di rumah masih bergantung kepada keputusan harian pengguna.
Menetapkan penghawa dingin pada suhu yang bersesuaian, memadamkan lampu apabila ruang tidak digunakan dan menutup peralatan elektrik selepas selesai digunakan merupakan tindakan mudah yang boleh dilakukan tanpa menjejaskan keselesaan.
Pengguna juga perlu membiasakan diri melihat jumlah penggunaan dalam kWj pada bil elektrik, bukan hanya jumlah bayaran dalam ringgit. Angka tersebut sebenarnya memberikan gambaran tentang corak penggunaan sesebuah isi rumah.
Jika berlaku peningkatan yang ketara, pengguna boleh meneliti semula rutin dan peralatan yang digunakan sepanjang bulan berkenaan.
Pengguna juga boleh mengambil kesempatan daripada tempoh perlindungan ini untuk lebih mengenali corak perbelanjaan isi rumah.
Daripada hanya menunggu bil sampai dan melihat jumlah yang perlu dibayar, pengguna boleh membandingkan penggunaan dari bulan ke bulan dan mengenal pasti perubahan yang berlaku.
Pendekatan mudah ini dapat membantu isi rumah membuat keputusan yang lebih baik tanpa perlu menunggu bil meningkat terlebih dahulu.
Setiap peralatan yang digunakan, tempoh penggunaannya dan keperluan sebenar terhadapnya merupakan sebahagian daripada keputusan pengguna.
Penggunaan elektrik bukan sekadar soal berapa banyak yang dibayar pada hujung bulan. Ia juga mencerminkan cara pengguna membuat pilihan setiap hari. Kuasa elektrik mungkin menghidupkan kehidupan seharian tetapi kuasa untuk menggunakannya secara bijak tetap berada di tangan pengguna. –UTUSAN
DR. NURUL FARDINI ZAKARIA
Pensyarah Kanan (Pemasaran),
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











