DAPATAN Tinjauan Celik Kewangan Malaysia 2026 menunjukkan sebanyak 24.3 peratus responden berusia 25 hingga 44 tahun menangguhkan atau memutuskan untuk tidak berkahwin atau mempunyai anak pertama dalam tempoh lima tahun lalu kerana faktor kewangan.
Dalam kalangan responden berusia 25 hingga 34 tahun, angkanya mencapai 28.9 peratus. Dapatan ini mengundang persoalan tentang sejauh mana keadaan ekonomi dan persekitaran sosial negara membantu orang muda merealisasikan kehidupan berkeluarga yang mereka inginkan.
Dalam tinjauan RinggitPlus, 25.8 peratus responden berpendapatan RM2,000 hingga RM4,999 menyatakan kewangan mempengaruhi keputusan berkenaan, berbanding 23.1 peratus bagi pendapatan RM5,000 ke atas dan 22.8 peratus bagi pendapatan bawah RM2,000.
Dapatan merentas kumpulan pendapatan ini menunjukkan persoalan kemampuan membina keluarga turut relevan kepada mereka yang memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Tinjauan sama mendapati 63 peratus responden memberikan wang kepada ibu bapa atau mentua. Bagi pasangan muda yang turut menjaga ibu bapa, belanjawan keluarga perlu menyediakan ruang untuk dua generasi serentak.
Keputusan berkeluarga melibatkan komitmen yang panjang. Simpanan yang cukup untuk memulakan kehidupan bersama belum tentu memberikan keyakinan untuk menanggung semua keperluan itu secara berterusan.
Sebab itu, usaha membantu orang muda perlu memberi perhatian kepada kestabilan kehidupan selepas berkahwin.
Bagi negara, penangguhan yang berlaku secara meluas mempunyai implikasi terhadap pembentukan generasi seterusnya. Tempoh untuk merancang kelahiran boleh menjadi lebih singkat apabila pasangan memulakan keluarga pada usia lebih lewat.
Dalam jangka panjang, keputusan peribadi yang dipengaruhi keadaan ekonomi ini turut membentuk struktur penduduk dan keperluan pembangunan negara.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan jumlah menurun daripada 1.6 anak bagi setiap wanita pada 2024 kepada 1.5 pada 2025. Angka ini berada di bawah paras penggantian penduduk sekitar 2.1.
Pada 2026, penduduk berusia 65 tahun ke atas pula merangkumi 8.4 peratus daripada keseluruhan penduduk. Perubahan ini membawa keperluan penjagaan kesihatan, sokongan persaraan dan bantuan harian yang lebih besar, termasuk kepada keluarga yang menjaga ibu bapa berusia lanjut.
Kelahiran rendah yang berterusan pula berpotensi mengecilkan kumpulan yang memasuki pasaran kerja pada masa hadapan, sedangkan keperluan penjagaan warga emas meningkat. Pembiayaan kesihatan, persaraan dan produktiviti negara akan menghadapi tekanan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat wajar menyelaras usaha memperkukuh kemampuan keluarga bersama kementerian yang mengurus kewangan, pekerjaan dan perumahan.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara boleh membantu mengenal pasti keperluan pasangan mengikut peringkat kehidupan dan kawasan tempat tinggal. Hasilnya perlu diterjemahkan kepada sokongan yang saling melengkapi, daripada kestabilan pendapatan dan kediaman hingga penjagaan anak serta ibu bapa berusia lanjut.
Tugas negara ialah memastikan mereka yang ingin membina keluarga mempunyai peluang yang munasabah untuk melakukannya. Keyakinan itu tumbuh apabila pendapatan lebih terjamin, tempat tinggal mampu ditanggung dan tanggungjawab penjagaan mendapat sokongan.
Masa depan penduduk Malaysia turut bergantung pada sejauh mana kehidupan berkeluarga dapat dibina dengan rasa selamat pada hari ini. –UTUSAN
DR. AL AMIN MOHAMED SULTAN
Biro Pemacuan Agenda Negeri dan Dakwah Akar Umbi,
Pertubuhan IKRAM Malaysia dan
Pensyarah Kanan,
Universiti Teknikal Malaysia Melaka











