KOTA BHARU: Masyarakat Melayu diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menjual tanah mereka kerana aset itu penting sebagai tempat kediaman dan jaminan kehidupan untuk generasi akan datang.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Islam turut mengajar umatnya supaya memelihara hart termasuk tanah dan rumah bagi memastikan kepentingan pemilikan dapat dikekalkan.
Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan tanah milik orang Melayu bukan sahaja terus terpelihara malah dapat dimanfaatkan untuk pembangunan yang mampu memberikan nilai tambah kepada pemiliknya.
“Tanah ini aset yang sangat penting. Kalau tidak ada tanah, kita hendak duduk di mana?” katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai keluasan tanah rizab Melayu semasa Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, penjualan tanah bukanlah sesuatu yang dilarang secara mutlak terutama jika terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, pemilik bagaimanapun perlu berfikir panjang sebelum menjual tanah termasuk mempertimbang kepentingan memiliki tanah atau kediaman sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Mohd. Nassuruddin turut merujuk hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan mengenai keberkatan harta hasil jualan rumah atau tanah sekiranya wang berkenaan tidak digunakan untuk mendapatkan rumah atau tanah lain.
Katanya, prinsip itu antara perkara yang mendorong kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap usaha memelihara tanah milik orang Melayu supaya kepentingan pemilikan mereka tidak terhakis.
“Usaha berkenaan bukan bermaksud masyarakat tidak boleh menjual tanah dalam apa-apa keadaan, sebaliknya keputusan itu perlu dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya.
“Tanah perlu dilihat sebagai aset jangka panjang yang penting bagi memastikan generasi akan datang tidak kehilangan tempat untuk menetap dan membina kehidupan,” katanya. – UTUSAN











