JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana cuba menyeludup keluar wang hampir RM3 juta tanpa melakukan pengisytiharan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada pukul 11.40 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kedua-dua individu berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan di kawasan pemeriksa kenderaan menuju ke Singapura.
Menurutnya, pemandu dan penumpang yang merupakan ahli perniagaan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran tempatan.
“Ketika pemeriksaan dibuat tiga pegawai AKPS, pemandu menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal sebelum diarah membuka ruang penyimpanan barang dan tempat duduk penumpang untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai RM1,971,697 dan 300,000 dolar Singapura, menjadikan keseluruhan wang tunai ditemukan berjumlah RM2.92 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat AKPS BSI, di sini semalam.
Tambah Mohd. Nasaruddin, kesemua wang tunai itu ditemukan tersimpan rapi dalam tiga buah kotak, satu beg kertas dan satu beg galas berwarna hitam.
“Pasangan terbabit mendakwa mereka mahu ke Singapura untuk melancong, bagaimanapun pihak berkuasa masih menyiasat tujuan mereka membawa wang tunai tersebut.
“Kedua-dua ditahan, manakala wang tunai serta kenderaan dirampas bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.
Mohd. Nasaruddin turut memberitahu, mana-mana pihak yang mahu membawa masuk atau keluar wang tunai berjumlah lebih AS$10,000 perlu melakukan pengisytiharan.
“AKPS komited perketat kawalan semua pintu masuk negara bagi banteras pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam atau datangkan kerugian hasil negara,” katanya. – UTUSAN











