Trump tawar ganjaran RM4 juta bagi maklumat penipuan pilihan raya

Trump tawar ganjaran RM4 juta bagi maklumat penipuan pilihan raya

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM4.07 juta) kepada sesiapa yang melaporkan kes penipuan pilihan raya terdahulu atau pertengahan penggal pada 3 November ini, dengan syarat maklumat itu membawa kepada penangkapan dan sabitan pesalah.

Trump mengumumkan tawaran itu menerusi platform Truth Social pada Isnin sebelum mengulanginya kepada pemberita menjelang perhimpunan di Corinth, Mississippi.

“Sesiapa yang melaporkan penipuan dalam pilihan raya terdahulu atau pada pertengahan penggal 2026 yang akan datang akan dibayar AS$1 juta (RM4.07 juta) selepas mereka yang melakukan penipuan itu ditangkap dan disabitkan kesalahan!” tulisnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Trump tidak menjelaskan sumber wang itu, pihak yang akan mengagihkan ganjaran berkenaan atau kaedah untuk melaporkan dakwaan penipuan.

Rumah Putih juga belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan media untuk mendapatkan penjelasan.

Tawaran itu mencetuskan persoalan undang-undang dalam talian, dengan pengkritik mempersoalkan bagaimana Trump boleh mengagihkan wang pembayar cukai tanpa kelulusan Kongres.

Ada juga pengguna media sosial yang menyindir bahawa rancangan itu mungkin menelan belanja melebihi bajet Pentagon.

“Jika saya melakukan penipuan pilihan raya kemudian melaporkan diri sendiri, adakah saya layak menerima ganjaran itu?” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi warganet berseloroh mahu melaporkan pasangannya demi wang itu.

“Saya akan memaksa pasangan saya mengundi dua kali supaya saya boleh melaporkan kesalahan itu dan mendapatkan wang tersebut. Peluang yang menarik!” katanya.

Trump sejak sekian lama mendakwa berlaku penipuan pilihan raya secara meluas, khususnya selepas enggan menerima kekalahannya kepada bekas Presiden, Joe Biden pada pilihan raya presiden 2020. Beliau berulang kali menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai diatur dan dicuri darinya.

Trump dan penyokongnya memfailkan lebih 60 saman bagi mencabar keputusan pilihan raya berkenaan, namun hampir kesemuanya ditolak atau digugurkan kerana kekurangan bukti, termasuk oleh hakim yang dilantik Trump sendiri.

Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) pula tidak menemukan bukti penipuan yang mampu mengubah keputusan pilihan raya itu, manakala William Barr, yang ketika itu berkhidmat sebagai Peguam Negara AS, secara terbuka menolak dakwaan Trump.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini