PASIR MAS: Kegiatan menjual benih padi yang disyaki tidak sah menerusi TikTok dan WhatsApp terbongkar apabila Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) menyerbu sebuah premis di Kampung Bendang Baru, Pokok Sena, Kedah, menerusi Operasi Kampit Putih pada 23 hingga 24 Oktober lalu.
Serbuan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu membawa kepada rampasan 4.95 metrik tan padi panjang kering serta peralatan pemprosesan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan benih padi.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu, dengan bantuan teknologi dron Unit Dron IPK Kedah.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai memproses padi panjang kering menggunakan peralatan pengampitan sebelum membungkusnya dalam kampit putih tanpa label sah untuk dijadikan benih padi.
“Berdasarkan risikan awal, bekalan benih padi itu dipromosikan menerusi akaun TikTok ‘sahabatpadilegacy’, manakala urusan penawaran dibuat melalui aplikasi WhatsApp.
“Sindiket ini menawarkan sehingga 19 jenis varieti benih padi, termasuk MD59, siri MR, CL dan varieti hibrid, pada harga sekitar RM65 hingga RM120 sekampit,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kilang Padi Darul Naim, Mukim Tasek Berangan di sini hari ini.
Beliau selepas itu meluangkan masa meninjau operasi di kilang berkenaan.
Luqman memberitahu, kesemua barang sitaan kini disimpan di Gudang BERNAS Teluk Kechai untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Penjualan benih padi tidak sah boleh menyebabkan pesawah tertipu berhubung ketulenan varieti, selain berdepan risiko kualiti benih rendah dan kadar percambahan tidak memuaskan kerana tidak melalui proses pengesahan makmal.
“Penggunaan benih sedemikian juga berisiko menjejaskan hasil tanaman dan pendapatan pesawah. Nasihat kami, belilah benih padi yang sah dan diluluskan sahaja dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran di media sosial yang boleh merugikan pesawah,” ujarnya.
Sementara itu, Luqman berkata, sebanyak lapan serbuan berkait dengan penjualan benih tidak sah berjaya dipatahkan oleh KPB sepanjang tempoh dua hari operasi berkenaan.
Katanya, rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM10,000.-UTUSAN











