PETALING JAYA: BMW Malaysia menyediakan 40 kenderaan premium bagi menyokong Kejohanan Maybank 2026, sekali gus meneruskan kerjasama sebagai Rakan Mobiliti Elektrik Rasmi kejohanan golf wanita itu untuk tahun keempat berturut-turut.
Armada berkenaan merangkumi model BMW i7 xDrive60 M Sport, BMW iX xDrive50 Sport, BMW 530i M Sport serta beberapa model terpilih BMW dan MINI bagi menyediakan pengangkutan kepada pemain, pegawai dan tetamu kehormat sepanjang kejohanan.
BMW Malaysia berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan, inovasi dan prestasi, selain menyokong usaha syarikat memperjuangkan mobiliti premium yang mampan.
“Armada itu disediakan bersama pengedar BMW, Auto Bavaria dan Performance Motors Malaysia, bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf dan Country Club (KLGCC).
“Kejohanan Maybank 2026 berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November ini, dengan penyertaan 78 pemain golf yang akan bersaing dalam empat pusingan bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$3 juta,” katanya.
Dianjurkan dengan pengiktirafan Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA), kejohanan itu menghimpunkan pemain elit antarabangsa serta menyediakan platform kepada bakat serantau untuk bersaing di peringkat global.
Kejohanan berkenaan turut menjadi antara acara utama Jelajah LPGA di Asia, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan keterlihatan golf wanita dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah acara sukan antarabangsa.
Antara pemain yang dijadualkan mengambil bahagian ialah Charley Hull, Miyu Yamashita dan Ruoning Yin.
BMW Malaysia berkata, penglibatan syarikat itu bukan sahaja bertujuan menyediakan kemudahan mobiliti premium, malah mencerminkan nilai inovasi dan kecemerlangan yang dikongsi bersama penganjur kejohanan.
“Selain menyaksikan aksi pemain golf bertaraf dunia, kejohanan itu turut bertujuan memberi inspirasi kepada generasi atlet akan datang serta menyokong perkembangan sukan golf wanita di rantau ASEAN.
“Orang ramai boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan kejohanan secara langsung di KLGCC, manakala siaran antarabangsa akan disediakan menerusi Golf Channel dan Astro,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai kejohanan dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Maybank Championship. –UTUSAN











