PETALING JAYA: IF Security Solution Sdn Bhd (IFSS Malaysia) membuka kemudahan kad pintar berskala besar di Petaling Jaya dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 40 juta kad bank dan kad SIM setahun bagi satu syif.
Kapasiti pengeluaran di kemudahan tersebut turut berupaya ditingkatkan kepada kira-kira 80 juta unit setahun sekiranya beroperasi menggunakan dua syif penuh.
Pusat Perkhidmatan Pemperibadian Serantau (RPS Centre) itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama rakan teknologi berpangkalan di Singapura, iaitu IF Security Solution Pte. Ltd.
Kerjasama itu turut melibatkan rakan kongsi peralatan serta projek dari Hong Kong dan Macau bagi memastikan penawaran perkhidmatan memenuhi piawaian industri global.
Pengurus Besar IFSS Malaysia, Melvin Lee berkata, kemudahan yang dilengkapi 10 barisan pengeluaran itu menyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk institusi perbankan dan syarikat teknologi kewangan.
“Perkhidmatan yang disediakan merangkumi proses pengeluaran, pemperibadian sehinggalah kepada urusan pemenuhan pesanan bagi sektor kerajaan serta pengendali telekomunikasi.
“Malaysia menawarkan pangkalan pengeluaran kad pintar global yang amat berdaya saing dari segi kos operasi.
“Faktor itu disokong sepenuhnya oleh ekosistem elektronik domestik yang kukuh serta kelebihan logistik yang strategik di rantau ini,” katanya semasa majlis pelancaran hab berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RPS Centre berkeupayaan mengendalikan pelbagai jenis kad merangkumi kad kredit, debit, prabayar, kad kerajaan, kad SIM fizikal serta teknologi eSIM.
“Kemudahan itu juga menawarkan pilihan kad premium dan mesra alam menerusi Innovation Card Lab yang menggunakan bahan kitar semula.
“Dengan menyasarkan kadar penggunaan kapasiti sebanyak 80 peratus bagi satu syif, IFSS Malaysia meletakkan sasaran hasil sekitar RM104.5 juta setahun,” katanya.
Tambahnya, pencapaian itu diunjur mampu meletakkan syarikat dalam kalangan lima pemain industri kad pintar tempatan teratas. –UTUSAN








