PARLIMEN: Cadangan hadkan 2 kad sim setiap individu diteliti

PARLIMEN: Cadangan hadkan 2 kad sim setiap individu diteliti

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan awam berhubung cadangan mengehadkan pemilikan kad sim kepada maksimum dua bagi setiap individu bagi setiap syarikat telekomunikasi.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, cadangan itu bertujuan mengawal penyalahgunaan nombor prabayar yang sering digunakan bagi tujuan penipuan dan penyebaran maklumat palsu. 

“Proses siasatan awam ini dijangka selesai hujung November dan pelaksanaannya boleh dimulakan seawal suku pertama tahun hadapan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Nie Ching berkata, MCMC memperketatkan proses pendaftaran kad SIM prabayar susulan peningkatan kes penipuan, penyebaran maklumat palsu serta penghasilan kandungan berunsur deepfake.

Katanya, siasatan mendapati wujud kes di mana individu tidak bertanggungjawab menggunakan identiti warga asing mendaftar akaun aplikasi tertentu sebelum menyebarkan kandungan palsu atau menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Apabila disiasat, maklumat yang digunakan bagi akaun tersebut adalah palsu atau milik warga asing. 

“Situasi ini menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku sebenar dan menyebabkan ada kes terpaksa ditutup,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani).

Menurutnya, kerajaan komited memperkukuh ekosistem komunikasi digital negara agar kekal selamat dan terkawal, termasuk memperkemas semakan identiti semasa pendaftaran SIM kad serta mempertingkatkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan agensi keselamatan.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penipuan dalam talian, tetapi juga membantu MCMC mengesan pelaku sebenar di sebalik penyebaran maklumat palsu dan kandungan deepfake yang kian berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN