Pasangan suami isteri ditahan AKPS, bawa wang tunai hampir RM3 juta masuk Singapura - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri ditahan AKPS, bawa wang tunai hampir RM3 juta masuk Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana cuba menyeludup keluar wang hampir RM3 juta tanpa melakukan pengisytiharan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada pukul 11.40 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kedua-dua individu berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan di kawasan pemeriksa kenderaan menuju ke Singapura.

Menurutnya, pemandu dan penumpang yang merupakan ahli perniagaan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika pemeriksaan dibuat tiga pegawai AKPS, pemandu menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal sebelum diarah membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai bernilai RM1,971,697, serta 300,000 dolar Singapura, menjadikan keseluruhan wang tunai ditemukan berjumlah RM2.92 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat AKPS BSI, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Nasaruddin, kesemua wang tunai itu ditemukan tersimpan rapi dalam tiga buah kotak, satu beg kertas dan satu beg galas berwarna hitam.

“Pasangan terbabit mendakwa mereka hendak memasuki Singapura untuk melancong, bagaimanapun pihak berkuasa masih menyiasat tujuan mereka membawa sejumlah wang tunai tersebut.

“Kedua-dua ditahan, manakala wang tunai beserta kenderaan dirampas bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.

Mohd. Nasaruddin turut memberitahu, mana-mana pihak yang mahu membawa masuk atau keluar wang tunai berjumlah lebih daripada 10,000 dolar Amerika Syarikat perlu melakukan pengisytiharan.

“AKPS komited memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negara bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam atau mendatangkan kerugian terhadap hasil negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini