SELAMA hampir empat tahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan, namun isu peruntukan ahli Parlimen masih tidak diselesaikan sehingga hari ini.
Sudah pasti ia menjadi ujian terhadap komitmen kerajaan dalam menjamin keadilan pengagihan dana awam. Manakan tidak, ia bukan suatu perkara mudah untuk kerajaan menyalurkan peruntukan kepada pihak lawan yang tidak menyokong pentadbiran mereka.
Atau lebih mudah untuk difahami, mengapa perlu memberi kelebihan kepada ahli Parlimen pembangkang untuk mendekati rakyat menggunakan peruntukan tersebut, seolah-olah memberi kemenangan percuma buat mereka pada pilihan raya umum nanti?
Namun secara asas, ia perkara yang dijanjikan PH dalam manifesto mereka pada 2022 iaitu memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang.
Namun, selepas kerajaan dibentuk, pelaksanaan janji itu masih belum mencapai penyelesaian menyeluruh, khususnya berhubung penyaluran dana secara langsung kepada ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kelmarin menegaskan tiada kawasan Parlimen dipinggirkan daripada peruntukan pembangunan, termasuk kawasan yang dikuasai pembangkang.
Namun, isu yang dibangkitkan pembangkang bukan semata-mata jumlah peruntukan pembangunan untuk sesebuah negeri atau kawasan, sebaliknya akses wakil rakyat kepada dana bagi membantu penduduk melalui pusat khidmat masing-masing.
Sama ada rakyat sedar atau tidak tentang pengagihan peruntukan tersebut, ia akan diterjemahkan dalam peti undi nanti.
Namun menghadapi persaingan politik hari ini, ahli Parlimen pembangkang sudah pasti menghadapi kesukaran untuk mendekati rakyat dengan peruntukan terhad dan kebanyakan daripada mereka menggunakan gaji mereka sendiri untuk diberi kepada rakyat di kawasan yang memerlukan.
Ada juga yang terpaksa menggunakan wang sendiri, mencari sumbangan korporat atau menganjurkan program bagi mendapatkan dana untuk disalurkan kepada penduduk.
Jadi, ia terpulang pada idea wakil rakyat masing-masing bagaimana cara untuk mereka mendapatkan dana untuk diagihkan ke kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat pelbagai program termasuk larian bagi mendapatkan dana, kemudiannya diagihkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk barangan asas makanan, komputer riba kepada anak-anak yang ingin menyambung pelajaran, sumbangan baju raya dengan kolaborasi pelbagai jenama dan banyak lagi usaha yang dibuat bagi memenuhi kehendak rakyat.
Malah, selepas beberapa siri rundingan dalam permohonan peruntukan dengan pihak kerajaan, Syed Saddiq mendedahkan peruntukan akhirnya diluluskan sebanyak RM200,000 namun tidak boleh digunakan untuk bantuan kebajikan rakyat.
Ia juga tidak boleh digunakan untuk perbaiki infrastruktur rakyat dan tidak boleh digunakan untuk apa-apa sumbangan.
Jadi, bagaimana dengan nasib ahli Parlimen lain yang tidak mempunyai kemampuan, rangkaian penaja atau pengaruh untuk mendapatkan dana?
Tidak semua wakil rakyat mempunyai sumber kewangan peribadi yang mencukupi untuk menampung keperluan kawasan masing-masing.
Jika bantuan kepada rakyat bergantung kepada kemampuan individu, akhirnya penduduk mungkin menerima layanan berbeza berdasarkan sumber yang dimiliki wakil rakyat mereka.
Lebih membimbangkan, keadaan itu berpotensi mengukuhkan persepsi: ‘siapa yang memberi imbuhan, itulah yang akan disokong’.
Namun, perkara ini tidak boleh meletakkan salah kepada rakyat juga kerana yang mengajar politik wang ini juga adalah dalam kalangan pemimpin sendiri.
Sampai bila ‘barah’ ini akan berterusan? Maka, sebab itu ahli Parlimen pembangkang terhimpit dengan kedudukan mereka yang ingin mendekati rakyat tetapi tiada peruntukan yang boleh disalurkan.
Ia berbeza pada zaman pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang berani membuat perubahan dengan melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik Transformasi dan Kestabilan Politik yang mengandungi enam agenda.
Ia merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Ramai yang memuji tindakan tersebut, namun ada juga yang menyebut ia dilakukan bagi menjamin kestabilan politik yang agak rapuh ketika itu.
Bagaimanapun, rundingan pernah diusahakan dalam memberi peruntukan pada pentadbiran hari ini, di mana pada 2023, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ditugaskan memimpin rundingan dengan pembangkang.
Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk merangka draf MoU peruntukan bagi diagihkan kepada semua ahli Parlimen pembangkang.
Namun, pada September 2024, pembangkang secara rasmi menolak draf MoU peruntukan yang dikemukakan kerajaan. Antara alasan penolakan termasuk didakwa mengandungi syarat yang ketat. Kerajaan pula menegaskan syarat tersebut adalah standard bagi proses kebertanggungjawaban.
Akhirnya tiada jawapan jelas sehingga hari ini, dan ia hanya meninggalkan persoalan dari hari ke hari yang tiada penyelesaiannya.
Setiap pentadbiran mempunyai cara berbeza, namun kepentingan rakyat tetap menjadi keutamaan. Anwar menegaskan keutamaan rakyat termasuk di kawasan pembangkang akan menjadi keutamaan. Sebagai contoh, peruntukan Persekutuan kepada Terengganu yang meningkat daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion bagi 2027.
Namun pada Ogos 2026, rakan gabungan dalam PH sendiri iaitu Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo sekali lagi menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang khas bagi menjamin semua anggota Parlimen termasuk daripada barisan pembangkang menerima peruntukan yang sama rata.
Gesaan daripada pemimpin parti komponen kerajaan sendiri itu menunjukkan isu berkenaan bukan lagi tuntutan eksklusif pembangkang, sebaliknya sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang perlu diberikan perhatian.
Dengan berbaki kurang daripada setahun sebelum tempoh penggal Parlimen semasa mencapai penghujungnya, kerajaan perlu membuktikan bahawa janji manifesto bukan sekadar modal ketika berkempen.
Pembangkang juga perlu menunjukkan kesediaan untuk berunding dan menerima mekanisme yang menjamin ketelusan penggunaan dana awam.
Sekatan peruntukan tidak semestinya menjamin sokongan rakyat kepada kerajaan, malah pemberian peruntukan juga tidak menjamin kemenangan pembangkang.
Pengundi mempunyai pertimbangan lebih luas, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, mutu perkhidmatan awam dan kemampuan wakil rakyat menyelesaikan masalah setempat.
Namun, apabila dana awam menjadi sebahagian daripada pertarungan politik, persoalan keadilan tidak boleh diketepikan. Peruntukan itu bukan milik parti pemerintah atau pembangkang, sebaliknya amanah untuk memenuhi keperluan rakyat.
Jika kerajaan benar-benar mahu membuktikan tiada kawasan dipinggirkan, mekanisme yang telus, adil dan terpakai kepada semua wakil rakyat perlu diwujudkan.
Tanpa penyelesaian yang jelas, isu ini berisiko terus menjadi modal kempen menjelang PRU, sedangkan rakyat sepatutnya menjadi penerima manfaat, bukannya mangsa persaingan politik. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











