KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda, XPDC mengakui berbesar hati sekiranya ada pihak yang menawarkan untuk mengadakan konsert reunion sekali lagi dengan XPDC Kita Pengyu (KPY).
Menurut vokalisnya, Mamu, konsert reunion bukan sekadar peluang mengubat kerinduan peminat, namun berasa lebih baik sekiranya semua anggota diberi peluang berkongsi pentas tanpa ada yang tertinggal.
“Pertemuan semula anggota asal seperti Izo, Zuar, Zul dan Amy menerusi konsert terdahulu merupakan sesuatu yang positif, lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak berkumpul membuat persembahan bersama.
“Reunion itu sebenarnya memberi peluang kepada kami beraksi di atas satu pentas. Kita juga tahu Ali sakit tetapi tetap memberikan aksi terbaik, manakala arwah Abang Mael pula sudah tiada.
“Bagi saya, itu sesuatu yang sangat baik dan kita perlu melihatnya daripada sudut positif,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Tabik! Kuasa Tiga L (The Times, Gerhana Ska Cinta dan XPDC New Gen di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, pemain gitar yang juga antara anggota asal XPDC, Izo, berpandangan penyatuan ke semua ahli kumpulan lama dan baharu dalam sebuah konsert mampu menjadi kenangan termanis buat peminat yang setia mengikuti perjalanan seni mereka.
“Andai mahu merealisasikan konsert reunion lagi selepas ini, lebih baik jemput semua sekali. Jangan ada yang tertinggal atau diketepikan. Lola pun sudah lama bersama XPDC. Eddie juga sudah lama dalam kumpulan ini.
“Jadi, tidak patut kalau ada tercicir. Kalau begitu, persembahan itu jadi kurang menarik. Konsert seperti ini bukan untuk kami semata-mata, tetapi demi penonton dan peminat. Kita bermain muzik bagi menghiburkan mereka, bukan sekadar untuk diri sendiri.
“Peminat ingin melihat semua anggota XPDC berada di atas satu pentas. Macam konsert baru-baru ini, ramai yang bertanya knapa Lola tiada, kenapa yang itu tiada?
“Kami pun susah hendak menjawab kerana keputusan itu terletak pada penganjur. Bukan kami yang mengeluarkan perbelanjaan untuk konsert tersebut. Kami pun diundang dan dibayar untuk membuat persembahan,” jelasnya.
Ditanya mengenai status hubungan antara ahli baharu dan lama, Izo menegaskan mereka tiada masalah dari segi hubungan persahabatan antara anggota, malah menyifatkan muzik yang menguatkan ukhwah mereka.
“Apabila kita berjumpa untuk membuat persembahan, kita bercakap mengenai muzik. Di luar, kita tetap berkawan seperti biasa. Tetapi apabila melibatkan persembahan, kita perlu melihatnya daripada sudut profesional.
“Kita datang untuk bermain muzik dan menghiburkan peminat. Kalau mahu buat sesuatu, biarlah dibuat dengan baik dan secara profesional. Kita mahu perkara yang dilakukan itu memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Untuk info, XPDC berpecah kepada dua kumpulan di mana Ali bersama Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (drum).
Terdahulu, pada 17 Oktober lalu berlangsung konsert XPDC Reunion di Mega Star Arena Kuala Lumpur yang menyaksikan semula penyatuan Ali, Izo, Zuar dan Amy atas pentas sama selepas 11 tahun berpecah.
Konsert itu juga menjadi detik bermakna dalam usaha menyatukan semula XPDC Kita Pengyu (KPY) dengan pemain gitar Izo yang sebelum ini dikaitkan dengan XPDC, selepas kedua-dua kelompok melalui perjalanan berbeza dan mempunyai pengikut tersendiri.











